Six Kings Slam ditunda ke Disember

Foto X Turki Alalshikh

RIYADH, 15 Oktober – Kejohanan tenis jemputan Six Kings Slam di Arab Saudi ditangguhkan selepas kumpulan Houthi dari Yaman melancarkan beberapa serangan maut ke atas negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejohanan Six Kings Slam ditunda ke 27 hingga 30 Disember dan akan disiarkan secara langsung di platform penstriman Netflix.
  • Antara pemain dijangka beraksi ialah Novak Djokovic, Carlos Alcaraz, Alexander Zverev, Taylor Fritz, Learner Tien dan Alex de Minaur.
  • Ketegangan keselamatan menjejaskan kalendar sukan Saudi; beberapa perlawanan ditangguhkan, Grand Prix dibatalkan dan WTA Finals dipindahkan.

Pengerusi Pihak Berkuasa Hiburan Am Arab Saudi, Turki Alalshikh mengumumkan penangguhan kejohanan itu pada Rabu.

Kejohanan berkenaan yang pada asalnya dijadual berlangsung dari 21 hingga 24 Oktober kini ditunda ke 27 hingga 30 Disember.

“Kejohanan Six Kings Slam ditunda atas sebab logistik dan kini akan berlangsung pada 27 Disember,” menurut Alalshikh menerusi platform X, sambil berkongsi kenyataan program hiburan Riyadh Season.

Antara pemain yang dijadual beraksi dalam kejohanan itu ialah Novak Djokovic, Carlos Alcaraz, Alexander Zverev, Taylor Fritz, Learner Tien dan Alex de Minaur.

Penangguhan itu menyusul selepas tiga perlawanan Liga Pro Saudi turut ditangguhkan awal minggu ini, termasuk aksi membabitkan kelab Al Nassr yang diwakili bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo.

Ketegangan keselamatan di Arab Saudi meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini susulan pertempuran antara pakatan tentera diketuai Arab Saudi dengan kumpulan Houthi dari Yaman, termasuk serangan peluru berpandu terhadap lapangan terbang dan kemudahan tenaga di negara itu.

Pusingan pertempuran terbaharu tercetus selepas serangan Houthi menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh pada hujung minggu lalu, mengorbankan 13 orang serta menyebabkan operasi lapangan terbang itu digantung.

Insiden berkenaan dilaporkan sebagai serangan paling dahsyat sejak 2015.

Konflik yang membabitkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran sejak penghujung Februari lalu turut memberi kesan besar terhadap kalendar sukan Arab Saudi.

Kejohanan Formula 1 (F1) Grand Prix Arab Saudi yang dijadual berlangsung di Jeddah pada April dibatalkan, manakala kejohanan akhir Persatuan Tenis Wanita (WTA Finals), yang sepatutnya berlangsung di Riyadh bulan depan, dipindahkan ke Indian Wells, Amerika Syarikat.

Perlawanan Liga Juara Asia membabitkan Al Nassr dan Neftchi Fergana pula ditangguhkan selama sejam dua hari lalu selepas pakatan tentera diketuai Arab Saudi memaklumkan pihaknya memintas peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan Houthi ke arah Riyadh.

Al Nassr bagaimanapun mencatat kemenangan 3-1 dalam perlawanan berkenaan, dengan Ronaldo menjaringkan gol ke-981 sepanjang karier profesionalnya. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.