Malaysia sumbang AS$1 juta bantu pemulihan banjir Nepal

Foto Wisma Putra

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Malaysia menyumbang AS$1 juta bagi menyokong usaha pemulihan dan pembangunan semula Nepal susulan banjir yang melanda negara itu pada 26 Ogos lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sumbangan diserahkan oleh Menteri, Datuk Seri Mohamad Hasan, kepada Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Nepal, Mudita Bajracharya sebagai tanda sokongan Malaysia.
  • Datuk Seri Mohamad menyampaikan simpati mendalam dan takziah kepada kerajaan, rakyat Nepal serta keluarga yang kehilangan dan semua yang terjejas.
  • Malaysia terus bersama Nepal dalam proses pemulihan dan pembinaan semula serta menyokong usaha kemanusiaan antarabangsa secara kerjasama dan solidariti.
  • Malaysia menyambut baik ordinan Nepal yang memendekkan tempoh pengisytiharan kematian kepada 45 hari, dijangka beri kepastian undang-undang dan pelaksanaan sijil kematian.

Kementerian Luar menerusi kenyataan memaklumkan sumbangan itu diserahkan oleh Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Nepal, Mudita Bajracharya sebagai tanda sokongan berterusan Malaysia kepada kerajaan dan rakyat negara berkenaan.

“Datuk Seri Mohamad turut menyampaikan rasa simpati yang mendalam dan ucapan takziah Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Nepal, khususnya kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang serta semua yang terjejas akibat bencana itu.

“Malaysia terus bersama kerajaan dan rakyat Nepal dalam proses pemulihan dan pembangunan semula, serta akan terus menyokong usaha kemanusiaan antarabangsa dalam semangat kerjasama dan solidariti,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Mohamad turut menyambut baik kelulusan ordinan baharu kerajaan Nepal yang memendekkan tempoh pengisytiharan kematian mangsa bencana yang masih belum dapat dihubungi daripada 12 tahun kepada 45 hari selepas bencana.

Ordinan itu dijangka memberikan kepastian undang-undang dan pentadbiran yang lebih jelas kepada keluarga mangsa yang terjejas.

Dalam maklum balasnya, Mudita memaklumkan bahawa kerajaan Nepal sedang memperincikan ordinan berkenaan serta kaedah pelaksanaannya, termasuk urusan pengeluaran sijil kematian.

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.