Dua kapal komersial diserang di perairan Bulgaria, sebuah karam

Foto Viory

SOFIA, 13 Oktober -Dua kapal komersial dilaporkan diserang di perairan berhampiran Bulgaria pada Selasa, dengan sebuah daripadanya karam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kapal kargo Ukraine Chelsea 3 terkena tiga serangan dron udara.
  • Kesemua 15 kru, tujuh Ukraine dan lapan Azerbaijan, diselamatkan.
  • Perdana Menteri Rumen Radev kecam serangan dan akan memanggil Duta Rusia serta berbincang dengan Setiausaha Agung NATO Mark Rutte.

Perdana Menteri Bulgaria, Rumen Radev, berkata kapal kargo milik Ukraine, Chelsea 3 yang mengibarkan bendera Malta, terkena tiga serangan dron udara.

Kesemua 15 kru kapal berkenaan, terdiri daripada tujuh warga Ukraine dan lapan warga Azerbaijan, berjaya diselamatkan.

Menurut beliau, sebuah lagi kapal turut diserang sebelum karam, manakala seorang kru berjaya diselamatkan.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai kejadian itu belum diperoleh.

Radev menyifatkan serangan terbaharu terhadap kapal komersial berhampiran perairan wilayah Bulgaria sebagai tidak boleh diterima sama sekali.

Beliau berkata, Bulgaria akan memanggil Duta Rusia bagi mendapatkan penjelasan berhubung insiden itu, selain membincangkannya dengan Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte.

Sementara itu, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, mengutuk serangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu lagi peningkatan ketegangan dalam perang Rusia-Ukraine.

Menteri Luar Ukraine, Andriy Sybiga, turut menyalahkan Rusia, dengan mendakwa Moscow sengaja mengabaikan nyawa orang awam serta keselamatan maritim di Laut Hitam. -VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.