Warga Kuantan, Rompin diseru waspada jerebu

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail/ BERNAMA

KUANTAN, 12 Oktober – Rakyat Pahang, khususnya di daerah Kuantan dan Rompin, diseru supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu bagi melindungi kesihatan masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kurangkan aktiviti di luar, patuhi nasihat pihak berkuasa dan elakkan pembakaran terbuka untuk mengurangkan pendedahan kepada jerebu.
  • Memakai pelitup separuh muka ketika berada di luar rumah.
  • Berikan perhatian khusus kepada kanak-kanak, warga emas dan individu bermasalah pernafasan.
  • Institusi pendidikan di Rompin dan Kuantan ditutup sementara; Kerajaan Negeri memantau perkembangan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti di luar rumah, mematuhi nasihat pihak berkuasa serta mengelakkan pembakaran terbuka.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya memakai pelitup separuh muka ketika berada di luar rumah.

“Golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan perlu diberikan perhatian khusus,” menurut kenyataan itu.

Ibu bapa, majikan dan penganjur program juga diminta mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tidak sihat.

Dalam pada itu, Datuk Seri Wan Rosdy mengambil maklum keputusan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang untuk menutup sementara institusi pendidikan di daerah Rompin dan Kuantan pada 13 Oktober susulan keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan berkenaan.

Kerajaan Negeri Pahang akan terus memantau perkembangan semasa bersama agensi berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.