
KUALA LUMPUR, 12 OKTOBER – Program kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu terus dipantau dan ditambah baik mengikut keperluan semasa supaya manfaat yang disediakan benar-benar sampai kepada veteran serta keluarga mereka.
- Sistem pengurusan kebajikan veteran Malaysia baik melalui Kementerian Pertahanan dan JHEV ATM dengan kerjasama sektor swasta, NGO dan agensi lain.
- Usaha kebajikan perlu sentiasa dinilai dan disesuaikan mengikut perubahan keperluan golongan veteran.
- Galakan penggunaan teknologi dan kerjasama strategik untuk memperbaiki pengurusan serta mencontohi amalan terbaik tempatan dan antarabangsa.
- Menyambut baik peruntukan Belanjawan 2027 bagi meningkatkan kebajikan veteran serta menggesa sumbangan awam sekurang-kurangnya RM1.
Penaung Kempen Tabung Pahlawan (KTP), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail berkata, Malaysia mempunyai sistem pengurusan kebajikan veteran yang baik menerusi Kementerian Pertahanan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), dengan kerjasama sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai agensi.
Bagaimanapun, beliau mahu usaha tersebut sentiasa dinilai dan disesuaikan dengan perubahan keperluan golongan veteran.
“Saya amat berharap agar inisiatif yang dilaksanakan sentiasa dipantau dan yang paling penting, sentiasa ditambahbaik mengikut keperluan semasa supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada setiap veteran dan keluarga mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di Wisma Perwira, di sini.
Datuk Seri Dr. Wan Azizah turut menggalakkan penggunaan teknologi dan kerjasama strategik bagi menambah baik pengurusan kebajikan veteran, termasuk mengambil contoh amalan terbaik dari dalam dan luar negara.
Pada masa sama, beliau turut menyambut baik bantuan yang diperuntukkan kepada veteran ATM dalam Belanjawan 2027 yang dibentang Jumaat lalu termasuk beberapa langkah bagi meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan veteran ATM.
Terdahulu Datuk Seri Dr. Wan Azizah turut menyeru orang ramai menyumbang sekurang-kurangnya RM1 kepada Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 yang membawa slogan “1 Rakyat 1 Ringgit, Demi Pahlawanku”.