Penglibatan Orang Asli dalam pemulihan hutan diperluas

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Penglibatan Orang Asli dan penduduk tempatan dalam program penanaman serta pemulihan hutan terus diperluas bagi membuka peluang pekerjaan dan pendapatan, selain meningkatkan penyertaan komuniti dalam pemuliharaan alam sekitar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Buy Back Guarantee Tapak Semaian Orang Asli di Pahang membolehkan komuniti cari, semai dan jaga anak benih untuk restorasi hutan.
  • Komuniti Nurseri Kampung Tampenau, Lahad Datu, hasilkan kira-kira 200,000 anak pokok menyokong pemulihan habitat orang utan Ulu Segama.
  • Kerajaan laksana pendekatan pelbagai di seluruh negara bagi pengurusan hutan berkekalan, kesejahteraan komuniti dan memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus liputan hutan.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi membolehkan masyarakat setempat terlibat secara langsung dalam aktiviti pemulihan hutan.

“Di Pahang, program Buy Back Guarantee Tapak Semaian Orang Asli yang dilaksanakan sejak 2021 membolehkan komuniti Orang Asli terlibat dalam pencarian, penyemaian dan penjagaan anak benih spesies hutan.

“Anak pokok berkenaan kemudiannya dibeli untuk digunakan dalam program restorasi dan penghijauan semula kawasan hutan,” katanya.

Di Sabah pula, Komuniti Nurseri Kampung Tampenau, Silam, Lahad Datu melibatkan 114 penduduk kampung dalam kerja penyemaian, penjagaan dan pembekalan kira-kira 200,000 anak pokok bagi projek pemulihan habitat orang utan di Hutan Simpan Ulu Segama, Lower Kawag.

Menurutnya, projek itu akan diteruskan dari 2026 hingga 2029, dengan fasa penanaman seterusnya melibatkan kira-kira 133,000 anak pokok bagi memulihkan kawasan hutan simpan seluas 332 hektar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob, mengenai status cadangan penanaman hutan yang melibatkan Orang Asli dan penduduk tempatan melalui syarikat atau pelaksana program bagi pihak kerajaan.

“Penglibatan komuniti dalam aktiviti penanaman dan pemulihan hutan dilaksanakan menerusi pelbagai pendekatan di seluruh negara, selaras dengan usaha memastikan pengurusan hutan secara berkekalan serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim menegaskan, kerajaan turut bertanggungjawab memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan Malaysia kekal diliputi hutan dan pokok.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.