PETRA terima peruntukan RM 5.33 bilion perkukuh infrastruktur air, tenaga

Foto Facebook Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Sebanyak RM5.33 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh infrastruktur air dan tenaga, mengurangkan risiko banjir serta mengawal kos utiliti rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan bertujuan memastikan perkhidmatan air dan tenaga lebih berdaya tahan, cekap dan mampan.
  • Projek tebatan banjir utama sedang dilaksana termasuk RTB Bandaraya Kuching Fasa Dua dan PLSB Sungai Golok serta Sungai Kemaman.
  • Projek Empangan Lebir dijangka kurangkan risiko banjir dan tingkatkan bekalan air mentah untuk ratusan ribu penduduk.
  • Langkah tenaga termasuk peningkatan perlindungan bil elektrik kepada 800 kWj, taman solar kerajaan, LSS6 dan pelaburan pengukuhan grid.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi kenyataan memaklumkan, peruntukan itu bertujuan memastikan perkhidmatan asas lebih berdaya tahan, cekap dan mampan.

Enam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM336 juta telah siap, manakala 82 projek lagi sedang dilaksanakan mengikut jadual.

“Antara projek yang diberi tumpuan ialah RTB Bandaraya Kuching Fasa Dua, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa Dua di Kelantan dan PLSB Sungai Kemaman di Terengganu.

“Bagi menangani isu banjir dan bekalan air di Kelantan, Projek Empangan Lebir berpotensi mengurangkan risiko banjir kepada 320,000 penduduk, selain membekalkan 337 juta liter air mentah sehari kepada 353,222 penduduk.

“Usaha meningkatkan bekalan air turut melibatkan pembinaan Loji Rawatan Air Machang serta penggantian paip uzur menerusi Program Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) Fasa Dua bernilai RM2.5 bilion, yang merangkumi penggantian 1,900 kilometer paip kritikal,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Datuk Seri Fadillah berkata perjanjian bekalan air pukal antara Perak dan Pulau Pinang bagi tempoh 40 tahun dimeterai bagi memperkukuh keterjaminan bekalan air.

Bagi sektor tenaga pula, kerajaan menaikkan aras perlindungan bil elektrik daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih lapan juta pengguna domestik atau sehingga 90 peratus daripada keseluruhan pengguna.

“Kerajaan turut memperuntukkan pelaburan RM1.5 bilion bagi pembangunan taman solar di bangunan kerajaan, selain menyediakan kapasiti 150 megawatt menerusi projek Solar Berskala Besar (LSS) 6 khusus untuk syarikat Bumiputera,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melabur RM15 bilion bagi memperkukuh grid nasional, manakala UEM Lestra diperuntukkan RM1 bilion untuk projek penyimpanan tenaga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan projek tenaga hibrid berkapasiti satu gigawatt di Johor.

Inisiatif lain termasuk Dana Iklim Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) bernilai RM1 bilion bagi projek hijau serta rebat sehingga RM200 menerusi program NUR MADANI untuk pembelian penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga.

PETRA turut memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama tenaga serantau melalui ASEAN Power Grid serta penyediaan bekalan elektrik luar bandar dan capaian internet menerusi kerjasama kerajaan, TNB dan syarikat telekomunikasi.

Dalam aspek sanitasi, kerajaan akan membina Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan rangkaian paip pembetungan di Kuala Terengganu, selain menaik taraf sistem pembetungan awam yang uzur di Pulau Tuba, Langkawi, Pulau Redang dan Pulau Tioman.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.