Penerima STR dapat SARA sehingga RM1,800 setahun pada 2027

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Semua penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sehingga RM150 sebulan atau maksimum RM1,800 setahun pada 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerima STR berusia 18 tahun ke atas akan menerima SARA MADANI RM100 dua kali, sebelum Aidilfitri dan menjelang ambang tujuh dasawarsa Merdeka.
  • Pemberian dua kali SARA MADANI dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat, termasuk golongan M40.
  • Peruntukan STR SARA 2027 ditingkatkan kepada RM16 bilion; penggunaan diperluas ke 216 pasar tani FAMA dan 15,000 premis rakan niaga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dijangka memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima STR.

“Manakala selain penerima STR yang berumur 18 tahun ke atas, akan menerima SARA MADANI RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang ambang tujuh dasawarsa Merdeka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan atau Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar lagi , pemberian SARA MADANI sebanyak dua kali itu dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan M40.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan keseluruhan bagi STR SARA pada 2027 turut ditingkatkan kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion.

Kerajaan turut bersetuju memperluas penggunaan SARA kepada pembelian barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.

Setakat ini, SARA mempunyai 15,000 premis rakan niaga, termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi.

Kerajaan menyasarkan jumlah kedai runcit kecil yang menyertai inisiatif itu ditingkatkan kepada 10,000 sebelum akhir tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.