
KUALA LUMPUR, 4 Oktober – Sebanyak lapan bas tambahan disediakan bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang susulan gangguan perkhidmatan Laluan Putrajaya akibat kecurian kabel berhampiran Stesen MRT Taman Equine.
- Kerja pembaikan giat dijalankan untuk memulihkan bekalan kuasa dan operasi Laluan Putrajaya.
- Perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara percuma diteruskan; penumpang dinasihatkan menjangka kelewatan dan merancang perjalanan lebih awal.
- Penumpang ke Sepang disarankan guna ERL melalui KL Sentral atau Bandar Tasik Selatan; petugas stesen dan Polis Bantuan membantu di hentian.
Rapid KL memaklumkan kerja pembaikan susulan kejadian itu sedang giat dijalankan bagi memulihkan bekalan kuasa dan operasi perkhidmatan Laluan Putrajaya.
“Perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara percuma masih diteruskan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan. Penumpang dinasihatkan menjangkakan tempoh menunggu dan perjalanan yang lebih panjang serta merancang perjalanan lebih awal.
“Bagi penumpang menuju ke Sepang melalui perkhidmatan ERL di Putrajaya Sentral, mereka disarankan menggunakan laluan alternatif melalui Stesen ERL KL Sentral atau Stesen ERL Bandar Tasik Selatan.
“Petugas stesen dan Polis Bantuan turut ditempatkan di stesen serta hentian bas bagi membantu menguruskan pergerakan penumpang,” menurut kenyataan tersebut.
Tambah Rapid KL, maklumat terkini mengenai status perkhidmatan akan disalurkan dari semasa ke semasa menerusi saluran media sosial rasmi.