Pilihan raya Brazil sengit, Lula berdepan Flavio Bolsonaro

Foto AFP

BRASILIA, 4 Oktober – Rakyat Brazil hari ini mengundi dalam pilihan raya sengit yang menyaksikan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva berdepan Senator Flavio Bolsonaro, dalam persaingan yang turut mendapat perhatian rapat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tinjauan menunjukkan persaingan sengit, kemungkinan pusingan kedua pada 25 Oktober jika tiada calon peroleh lebih 50 peratus.
  • Lula mendapat sokongan kuat di timur laut antara golongan berpendapatan rendah, penganut Katolik dan wanita.
  • Flavio kuat di selatan serta dalam kalangan golongan berpendapatan tinggi dan penganut evangelikal; beliau anak bekas presiden yang dipenjara.
  • Kempen dikuasai isu kos sara hidup, jenayah dan peningkatan hutang awam, dengan kedua calon saling menyerang.

Lula, 80, yang memburu penggal keempat dan terakhir, memberi amaran bahawa kedaulatan Brazil menjadi taruhan susulan tekanan Washington terhadap Brasília.

Beliau berdepan Flavio Bolsonaro, 45, anak kepada bekas Presiden Jair Bolsonaro yang kini menjalani hukuman penjara 27 tahun atas kesalahan cubaan melakukan rampasan kuasa selepas tewas dalam pilihan raya 2022.

Tinjauan pendapat menunjukkan kedua-dua calon berdepan persaingan sengit dan tiada seorang pun dijangka memperoleh lebih 50 peratus undi yang diperlukan untuk menang pada pusingan pertama.

Keadaan itu berkemungkinan membawa kepada pusingan kedua pada 25 Oktober.

Lula mempunyai sokongan lebih kukuh di wilayah timur laut Brazil, terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah, penganut Katolik dan wanita.

Sebaliknya, Flavio Bolsonaro dilaporkan mendapat sokongan lebih besar di wilayah selatan, golongan berpendapatan tinggi serta penganut evangelikal.

Kempen pilihan raya turut menyaksikan kedua-dua calon saling menyerang ketika pengundi berdepan isu kos sara hidup, jenayah dan peningkatan hutang awam.

Lula yang kembali berkuasa pada 2022 selepas menewaskan Jair Bolsonaro dengan majoriti tipis, turut dikaitkan dengan usaha mengurangkan inflasi dan kadar pengangguran serta mengekang penebangan hutan di Amazon.

Namun, kos sara hidup yang tinggi dan isu jenayah terus menjadi kebimbangan pengundi.

Sementara itu, isu Trump turut mewarnai kempen pilihan raya Brazil selepas Presiden AS itu mengenakan tarif dan sekatan terhadap Brasília, termasuk berkaitan perbicaraan terhadap Jair Bolsonaro serta dakwaan amalan perdagangan tidak adil.

Trump sebelum ini berkata beliau memantau pilihan raya Brazil dengan rapat, namun tidak menyatakan sokongan terhadap Flavio Bolsonaro.

Dalam beberapa siri kempennya, Flavio turut memaparkan bendera AS dan imej Trump, selain menjanjikan pendekatan lebih tegas terhadap jenayah serta langkah penjimatan fiskal bagi menangani peningkatan hutang kerajaan.

Jumlah keluar mengundi dan keputusan pengundi pada saat akhir dijangka menjadi antara faktor penting yang akan menentukan hala tuju politik Brazil.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.