Kementerian Komunikasi perhebat promosi dasar dan inisiatif kerajaan

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 29 September – Pendekatan lebih proaktif dipergiat bagi memastikan setiap dasar, inisiatif dan perkhidmatan kerajaan merentasi semua kementerian disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bahagian Komunikasi Strategik dan Korporat diarahkan bekerjasama dengan Unit Komunikasi Korporat di setiap kementerian untuk penyelarasan maklumat.
  • Usaha promosi dipertingkat supaya inisiatif MySalam dan PeKa B40 benar-benar diketahui serta dimanfaatkan oleh kumpulan sasar.
  • Hebahan diperluas menggunakan televisyen, radio, paparan Pesanan Khidmat Masyarakat di pawagam melalui FINAS dan saluran digital.
  • Promosi di media sosial diperhebat untuk menembusi kekangan algoritma dengan kerjasama platform-platform.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Bahagian Komunikasi Strategik dan Korporat Kementerian Komunikasi diarahkan bekerjasama dengan Unit Komunikasi Korporat (UKK) di setiap kementerian bagi menyelaras maklumat berkaitan secara menyeluruh.

“Setiap kementerian disediakan peruntukan masing-masing. Namun, usaha ini perlu dipertingkatkan lagi agar inisiatif seperti program MySalam dan PeKa B40 di bawah Kementerian Kewangan benar-benar diketahui oleh kumpulan sasar dan dimanfaatkan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, usaha hebahan akan turut diperluas dengan memanfaatkan semua saluran media sedia ada seperti televisyen, radio, paparan Pesanan Khidmat Masyarakat di pawagam menerusi FINAS, serta saluran digital.

Selain itu katanya, kementerian akan turut memperhebat promosi di media sosial bagi menembusi kekangan algoritma.

“Pengguna biasanya akan disajikan dengan kandungan mengikut minat masing-masing seperti peminat kucing dan bola sepak hanya akan mendapatkan kandungan berkaitan perkara itu.

“Jadi, kita mahu menembusi algoritma ini dengan mendapatkan kerjasama daripada platform-platform media sosial,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Menara Komunikasi, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.