Pengeluaran berperingkat bantu simpanan persaraan bertahan lebih lama

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 September – Rakyat digalakkan untuk beralih daripada pengeluaran simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara berperingkat berbanding sekali gus bagi memastikan ia dapat bertahan lebih lama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengeluaran berperingkat membantu simpanan persaraan bertahan lebih lama dan membolehkan dana terus berkembang melalui faedah penggandaan.
  • Pengeluaran bulanan, bukan sekali gus, membantu pesara menikmati kehidupan lebih baik dengan memastikan pendapatan berterusan.
  • KWSP perkenalkan alat dan mekanisme baharu seperti kalkulator persaraan untuk merancang jumlah diterima setiap bulan.
  • Kerangka Kecukupan Pendapatan Persaraan menyediakan sasaran simpanan berdasarkan gaya hidup serta pelarasan automatik untuk mengambil kira inflasi.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dengan cara itu ia membolehkan simpanan terus dilaburkan dan berkembang melalui faedah penggandaan.

Beliau berkata, pengeluaran simpanan persaraan secara berperingkat juga dapat membantu pesara memastikan simpanan mereka bertahan untuk tempoh yang lebih panjang.

“Pengeluaran bukan secara sekali gus, tetapi secara bulanan, membolehkan dana terus berkembang melalui proses penggandaan. Ini membolehkan simpanan pesara bertahan lebih lama, sekali gus membantu mereka menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata, KWSP turut memperkenalkan alat dan mekanisme baharu bagi membantu ahli memahami dengan lebih baik bagaimana corak pengeluaran yang berbeza boleh mempengaruhi pendapatan persaraan mereka.

Antaranya kalkulator persaraan yang membolehkan ahli menentukan jumlah yang ingin diterima setiap bulan selepas bersara serta menilai kedudukan kewangan berdasarkan tahap pendapatan berkenaan.

Datuk Seri Amir Hamzah berkata, gambaran lebih jelas mengenai potensi pendapatan bulanan selepas bersara dapat membantu ahli membuat keputusan yang lebih tepat mengenai bila dan berapa banyak simpanan yang perlu dikeluarkan.

Beliau berkata, Kerangka Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) KWSP turut menyediakan tahap sasaran simpanan yang berbeza kepada ahli berdasarkan gaya hidup yang diingini ketika bersara.

Kerangka itu merangkumi mekanisme pelarasan automatik bagi mengambil kira inflasi, sekali gus memastikan sasaran simpanan persaraan dikemas kini selaras dengan perubahan kos sara hidup.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.