
PUTRAJAYA, 29 September – Pendaftaran program Ubat Melalui Pos (UMP) hanya dilakukan melalui fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dan bukan menerusi akaun media sosial.
- Pendaftaran UMP hanya melalui fasiliti Kementerian Kesihatan, bukan melalui platform media sosial seperti TikTok atau Facebook.
- Pendaftaran program UMP adalah percuma dan tidak memerlukan sebarang bayaran.
- Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi KKM untuk mengelakkan penipuan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, orang ramai perlu berwaspada terhadap cubaan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan program berkenaan.
Beliau berkata tiada proses pendaftaran UMP dilakukan menerusi platform media sosial seperti TikTok atau Facebook.
“Pendaftaran program UMP ini hanya dilakukan melalui fasiliti KKM, bukannya melalui akaun TikTok atau Facebook. Peringatan saya, tiada proses pendaftaran, selain daripada di klinik kesihatan atau fasiliti Kementerian Kesihatan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pembiayaan Ubat Melalui Pos (UMP) di Lobi Menara Komunikasi, di sini.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Datuk Seri Fahmi turut menggalakkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan UMP melalui saluran rasmi KKM bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Pendaftaran program UMP adalah percuma dan tidak memerlukan sebarang bayaran,” ujarnya.
Inisiatif UMP merupakan sokongan tambahan Kementerian Komunikasi kepada Kementerian Kesihatan selepas kejayaan program inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA), yang melibatkan peruntukan RM1 bilion bagi meningkatkan akses internet dan kesalinghubungan di 150 hospital kerajaan serta lebih 2,500 klinik kesihatan di seluruh negara.