Jangan terpedaya ‘scammer’ guna nama agensi kerajaan

Foto RTM

KANGAR, 26 September – Masyarakat dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan kegiatan penipuan dalam talian yang menggunakan perkhidmatan dan inisiatif kerajaan sebagai modal untuk memperdaya mangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Scammer menyamar menggunakan nama agensi kerajaan untuk meyakinkan mangsa.
  • Sahkan sebarang tindakan melalui laman web rasmi agensi berkenaan sebelum bertindak.
  • Gunakan ciri AI media sosial seperti TikTok Taka dan Meta AI WhatsApp untuk menyemak kesahihan maklumat.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, lebih membimbangkan apabila terdapat scammer yang menyamar atau menggunakan nama agensi kerajaan bagi meyakinkan mangsa.

“Sebarang tindakan perlu didahului dengan membuat semakan menerusi laman sesawang rasmi agensi kerajaan berkenaan bagi memastikan kesahihan maklumat,” katanya.

Tambahnya, setiap perkhidmatan dan inisiatif kerajaan hanya disediakan menerusi saluran rasmi agensi terbabit.

“Banyak aplikasi media sosial sekarang mempunyai ciri kecerdasan buatan (AI). Sebagai contoh, TikTok mempunyai aplikasi Taka yang membolehkan kita berinteraksi dan bertanya mengenai sesuatu perkara untuk menyemak kesahihan maklumat.

“Begitu juga WhatsApp yang mempunyai Meta AI. Kita boleh bertanya kepada Meta AI sama ada sesuatu maklumat itu betul ataupun tidak,” katanya pada Program Madani Kita (PMK) anjuran Jabatan Penerangan Perlis di Kangar, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 85 hingga 86 peratus daripada hampir 500,000 kandungan yang diminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diturunkan setakat ini berkaitan judi dalam talian dan penipuan (scam).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.