Lawatan PM ke China catat potensi pelaburan lebih RM28 bilion

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) sedang mendengar penerangan berkaitan GTDE Ke-5 / Foto PMO

HANGZHOU, 24 September – Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China selama tiga hari berjaya merekodkan potensi pelaburan melebihi RM28 bilion ke Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan perniagaan bersama 26 syarikat termasuk lima gergasi industri China.
  • Syarikat menyatakan komitmen meningkatkan pelaburan berasaskan keyakinan terhadap kestabilan negara dan dasar kerajaan.
  • Fokus pelaburan pada sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, AI, robotik, kenderaan elektrik dan bahan bateri.
  • Hubungan Malaysia-China semakin kukuh, dengan kepimpinan China menggalak pelaburan dua hala dan pengembangan eksport Malaysia.

Potensi itu diraih menerusi sesi perbincangan perniagaan bersama 26 syarikat, termasuk lima syarikat gergasi industri China.

Datuk Seri Anwar berkata, syarikat terbabit menyatakan komitmen untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia berasaskan keyakinan terhadap kestabilan negara serta dasar yang dilaksanakan kerajaan.

“Potensi pelaburan berkenaan merangkumi sektor berimpak tinggi termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan robotik, kenderaan elektrik serta bahan bateri.

“Ia turut melibatkan optik termaju dan bioteknologi, teknologi kesihatan dan peranti perubatan, bahan kimia khusus serta pembuatan termaju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pavilion Malaysia pada Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Ke-5, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata, hubungan Malaysia-China yang semakin kukuh turut meningkatkan keyakinan syarikat China untuk memperluas pelaburan di Malaysia.

“Hubungan persahabatan antara Malaysia dan China kini berada pada tahap yang sangat kukuh dan berkembang secara positif,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, kepimpinan China turut memberi galakan terhadap usaha meningkatkan pelaburan dua hala, selain menyatakan komitmen untuk mencari jalan memperluas eksport Malaysia ke negara itu.

Lawatan kerja Datuk Seri Anwar ke China, melibatkan Shanghai dan Hangzhou, berakhir hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.