550,000 liter bahan api dibenar masuk ke Gaza tidak cukup – PBB

Mural yang didedikasikan kepada penyanyi rap Amerika Syarikat, Macklemore, di Gaza City yang mencetuskan perhatian selepas melaungkan “Free Palestine” ketika persembahannya di New Jersey baru-baru ini/ AFP

NEW YORK, 24 September- Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu menyambut baik kemasukan 550,000 liter bahan api ke Gaza, namun memberi amaran jumlah keseluruhan itu masih jauh di bawah keperluan minimum, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan darurat dan sumbangan Qatar hanya langkah sementara; dana tambahan diperlukan untuk bekalan bahan api berterusan.
  • Kelulusan bagi minyak enjin, alat ganti, panel solar dan penyambungan Loji Janakuasa Gaza penting untuk mengekalkan operasi perkhidmatan asas.
  • 989 daripada 1,764 tapak dinilai berisiko banjir sederhana hingga tinggi, menempatkan kira-kira satu juta orang; 400,000 mungkin perlu berpindah.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) memaklumkan bahan api yang dibenarkan masuk pada Selasa dapat membantu memastikan perkhidmatan asas terus beroperasi, tetapi jumlahnya masih jauh daripada mencukupi.

OCHA berkata peruntukan AS$2 juta daripada dana kemanusiaan bagi wilayah Palestin yang diduduki pada Khamis lepas, bersama sumbangan terbaharu Qatar, merupakan langkah sementara untuk membiayai keperluan bahan api bagi kemudahan perubatan di Gaza.

“Dana tambahan amat diperlukan bagi memastikan bekalan bahan api berterusan serta mengelakkan kelewatan berbahaya dalam perkhidmatan kesihatan, bekalan air, operasi menyelamat, pembersihan sisa runtuhan dan perkhidmatan kritikal lain,” menurut OCHA.

Menurut pejabat itu, rakan kemanusiaannya melaporkan penggunaan meluas penjana sokongan tidak dapat dikekalkan untuk tempoh panjang.

OCHA berkata kelulusan bagi kemasukan minyak enjin, alat ganti dan panel solar, selain bahan api komersial serta penyambungan semula operasi Loji Janakuasa Gaza amat penting.

Sementara itu, rakan kongsi OCHA yang terlibat dalam pengurusan tapak melaporkan bahawa menjelang musim tengkujuh, 989 daripada 1,764 lokasi yang dinilai di Gaza berdepan risiko banjir pada tahap sederhana hingga tinggi.

Lokasi terbabit menempatkan kira-kira satu juta orang.

“Ramai keluarga masih tinggal di tempat perlindungan yang semakin uzur sejak musim sejuk lalu, dengan perlindungan terhad, sistem saliran tidak mencukupi serta kekurangan tilam, selimut dan barangan keperluan rumah lain,” menurut OCHA.

Rakan kemanusiaan turut memberi amaran bahawa kira-kira 400,000 orang mungkin perlu berpindah apabila hujan lebat berlaku.

Sementara itu, rakan kongsi OCHA sedang menambah baik sistem saliran, memperkukuh tempat perlindungan serta menyalurkan bahan dan peralatan penting, selain membantu penduduk yang memilih untuk berpindah.

Bagaimanapun, usaha itu berdepan kekangan sumber, manakala kawasan tanah yang masih tersedia juga amat terhad. -BERNAMA-XINHUA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.