
HANGZHOU, 24 September – Malaysia tidak memilih mana-mana pihak antara kuasa besar, sebaliknya akan terus bekerjasama dengan semua pihak berdasarkan kepentingan bersama dan membuat pertimbangan sendiri apabila kepentingan berbeza.
- Malaysia mahu kebebasan bekerjasama dengan semua kuasa besar berdasarkan kepentingan bersama dan membuat pertimbangan sendiri apabila kepentingan berbeza.
- Perdana Menteri menyampaikan ucapan pada Majlis Pembukaan Ekspo Perdagangan Digital Global ke-5.
- Keterbukaan dan keselamatan tidak dianggap bertentangan; kawal selia perlu menangani risiko tanpa menjadi halangan kepada kemakmuran.
- Memerlukan garis panduan apabila risiko nyata, tetapi garis panduan tidak seharusnya menjadi tembok yang tidak boleh ditembusi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mahu mempunyai kebebasan untuk bekerjasama dengan semua kuasa besar dalam perkara yang mempunyai kepentingan bersama, selain membuat pertimbangan sendiri apabila wujud perbezaan kepentingan.
“Malaysia tidak mahu memilih pihak antara kuasa-kuasa besar. Kita mahukan kebebasan untuk bekerjasama dengan kesemuanya apabila kepentingan kita bertemu, dan membuat pertimbangan sendiri apabila kepentingan kita berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) ke-5 di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia tidak menganggap keterbukaan dan keselamatan sebagai dua perkara yang bertentangan, namun langkah kawal selia perlu dilaksanakan bagi menangani risiko sebenar tanpa menjadi penghalang kepada kemakmuran.
“Kita juga perlu berhati-hati agar tidak membina halangan lebih pantas daripada membina kemakmuran.
“Kita memerlukan garis panduan apabila risikonya nyata, tetapi garis panduan itu tidak seharusnya menjadi tembok yang tidak boleh ditembusi,” katanya.
Perdana Menteri dalam lawatan tiga hari di China meliputi Shanghai dan Hangzhou.
Beliau turut dijadualkan menghadiri mesyuarat bilateral bersama Perdana Menteri, Li Qiang hari ini.