
KUALA LUMPUR, 22 September – Fenomena El Nino yang dijangka berterusan berupaya meningkatkan risiko kebakaran, terus mendorong Malaysia memperkukuh kerjasama dengan negara ASEAN dalam menangani jerebu rentas sempadan.
- Dr Pubadi: El Nino menyebabkan kurang hujan, keadaan kering; hutan, tanah gambut dan kawasan kering mudah terbakar.
- Situasi memerlukan kerjasama negara ASEAN berdasarkan Perjanjian Jerebu Rentas Sempadan ASEAN.
- Malaysia mengadakan mesyuarat jerebu bersama enam negara ASEAN di Bali pada Julai.
- Kerjasama turut melibatkan bantuan Malaysia kepada Indonesia menangani kebakaran, khususnya di Kalimantan.
Setiausaha Bahagian Pengurusan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dr Pubadi Govindasamy memaklumkan fenomena itu juga meningkatkan cabaran menangani jerebu.
“El Nino merupakan satu keadaan yang kurang hujan dan keadaan kering yang berisiko membuatkan hutan, tanah gambut, dan kawasan-kawasan yang kering, mudah terbakar.
“Situasi itu memerlukan kerjasama negara ASEAN dalam menangani isu jerebu rentas sempadan berdasarkan Perjanjian Jerebu Rentas Sempadan ASEAN,”katanya selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia.
Malaysia juga katanya, telah mengadakan mesyuarat jerebu bersama enam negara ASEAN di Bali pada Julai lepas bertujuan mendapatkan kerjasama negara-negara terlibat dalam menangani isu jerebu dengan lebih baik.
Kerjasama itu turut melibatkan usaha Malaysia membantu Indonesia menangani kebakaran, khususnya di Kalimantan.