30,000 beg kasut disumbang kepada Jemaah Haji

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 21 September – Hampir 30,000 beg kasut disumbangkan kepada jemaah Muassasah di seluruh negara bagi musim haji 1447H/2026M menerusi Program Sahabat Haji Tabung Haji (TH), bagi membantu melengkapkan keperluan jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menyampaikan penghargaan Sahabat Haji Tabung Haji pada majlis rasmi.
  • Penghargaan diterima Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama Datuk Marhalim Mohamed.
  • Marhalim berkata sumbangan membantu melengkapkan persiapan jemaah sebelum berangkat menunaikan ibadah haji.
  • Beg tali cerut memudahkan pembawaan, meningkatkan keselesaan dan mobiliti jemaah; agihan melalui kursus haji negeri serta cawangan TH.

Sumbangan itu mendapat penghargaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menerusi penyampaian penghargaan Sahabat Haji TH pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Haji TH Musim Haji 1447H/2026M di Menara TH Tun Razak, di sini, hari ini.

Penghargaan berkenaan diterima Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama Sdn Bhd Datuk Marhalim Mohamed.

Marhalim berkata sumbangan itu amat bermakna kerana sedikit sebanyak dapat membantu melengkapkan persiapan jemaah sebelum berangkat menunaikan ibadah haji.

“Ia amat bermakna bagi sebuah syarikat seperti Pintas Utama. Walaupun sederhana, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu melengkapkan persiapan jemaah sebelum berangkat menunaikan ibadah haji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata beg kasut jenis tali cerut itu turut memudahkan jemaah membawa barangan keperluan, selain meningkatkan keselesaan dan mobiliti mereka sepanjang berada di Tanah Suci.

Agihan dilaksanakan secara berperingkat ketika Kursus Perdana Haji peringkat negeri. Di Selangor, agihan dibuat pada 11 April di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, manakala di Pahang dan Perak pada 4 April masing-masing di Masjid Negeri Sultan Ahmad dan Masjid Sultan Azlan Shah.

Bagi negeri lain, beg berkenaan dihantar ke cawangan TH negeri untuk diagihkan kepada jemaah mengikut keperluan dan pengurusan masing-masing.

Penglibatan Pintas Utama dalam menyantuni jemaah haji Malaysia bermula sejak 2023, dengan sumbangan tahun ini meneruskan usaha syarikat menyokong kebajikan dan kemudahan jemaah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.