
OAXACA, 20 September – Puluhan peserta termasuk kanak-kanak dan orang dewasa menyertai Festival Belalang edisi keempat pada Sabtu, di sini bagi meraikan tradisi kulinari wilayah itu meskipun hasil tuaian serangga berkenaan susut dengan ketara.
- Hasil tuaian berkurangan kira-kira separuh akibat panas melampau dan kekurangan hujan, merosakkan tumbuhan sumber makanan belalang.
- Belalang chapulines kaya protein dan penting dalam masakan tradisional Oaxaca, sering dimakan dengan limau, garam dan sos.
- Penangkapan dengan jaring dan aktiviti menangkap mengimbau memori zaman kanak-kanak serta meneruskan amalan keluarga.
- Pengusaha menjual belalang berperisa bawang putih, limau, cili dan variasi lain untuk mengekalkan tradisi kulinari.
Peserta Manuel Borja meredah kawasan padang menggunakan jaring untuk menangkap belalang yang dikenali sebagai “chapulines” secara tradisional.
“Ia agak sukar kerana kami berjalan, saya sendiri berjalan kira-kira 45 minit di kawasan itu. Sepanjang perjalanan, kami cuba menangkap sebanyak mungkin, tetapi malangnya tahun ini bukan tahun yang baik. Kami juga terkejut apabila menemui beberapa ekor ular kecil di sepanjang perjalanan,” katanya.
Menurut Datuk Bandar San Miguel del Puerto, Jose Bojorquez, hasil tuaian tahun ini susut kira-kira separuh berikutan cuaca panas melampau dan kekurangan hujan yang menjejaskan tumbuh-tumbuhan yang menjadi sumber makanan serangga berkenaan.
“Cuaca sekarang sangat panas, suhunya tinggi dan hasil tuaian di sini di kawasan pantai rosak. Sudah tentu hujan juga tidak turun dan keadaan itu menyukarkan pembiakan belalang.
“Serangga itu bergantung kepada tumbuhan hijau, namun hasilnya sedikit susulan keadaan cuaca yang sangat panas. Jadi, keadaan menjadi lebih sukar dan jumlah belalang yang dikumpulkan juga sedikit berkurangan,” katanya.

Walaupun hasilnya berkurangan, peserta menyatakan bahawa serangga itu kaya dengan protein dan menjadi antara makanan tradisional penting dalam masakan Oaxaca.
Peserta dan penggemar belalang, Noemi Lopez berkata, serangga berkenaan merupakan hidangan keluarga yang dimakan sejak kecil lagi.
“Saya suka memakannya dan turut suka menangkapnya kerana ia mengingatkan saya ketika masih kecil. Sejak kecil, saya bersama ibu, ibu saudara dan keluarga yang lain sering pergi menangkap belalang.
“Sejak itu saya memang menyukainya dan saya menyediakannya dengan limau dan garam, serta dimasak bersama sos,” katanya.
Bagi Margarita Perez yang juga penggemar belalang, serangga itu disifatkan sebagai hidangan unik kerana mempunyai kandungan protein yang tinggi.
“Memakan taco belalang bersama sepinggan ‘guias’ ibarat memakan seketul daging kerana ia mengandungi banyak protein. Belalang juga mempunyai kandungan protein yang tinggi,” katanya.
Pengusaha belalang dari Mix Chapus, Rubi Perez menjual belalang yang telah disediakan dengan perencah bawang putih, limau dan cili, sekali gus memastikan tradisi itu terus dikenali.
“Sebagai contoh, kami membawa belalang yang dimasak dengan sos bawang putih, habanero, garam dan limau. Kami menghasilkan belalang dengan bawang putih dan limau, air cili serta beberapa variasi perisa lain,” katanya.- REUTERS