Festival Jom Malaysia martabatkan produk tempatan

Foto FB KPDN Laman Rasmi

BATU KAWAN, 17 September – Festival Jom Malaysia 2026 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjadi platform memperkasa produk keluaran tempatan selain mendekatkan usahawan dengan pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Festival bukan sekadar menggalakkan pembelian; ia membina keyakinan pengguna terhadap kualiti produk tempatan.
  • Menyatukan rakyat dengan produk tempatan untuk memperkasakan usahawan dan memperluaskan pasaran produk Malaysia.
  • Empat hari acara termasuk Jualan Rahmah MADANI, aktiviti keluarga, cabutan bertuah, kuiz, persembahan boria dan artis tempatan.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, penganjuran festival berkenaan bukan sekadar menggalakkan rakyat membeli barangan buatan Malaysia, bahkan turut membina keyakinan pengguna terhadap kualiti produk tempatan.

“Banyak kita boleh tengok dalam festival kali ini. Cumanya, festival kali ini adalah untuk mempertemukan rakyat dengan produk tempatan, memperkasakan usahawan, memperluaskan pasaran produk Malaysia serta membina keyakinan rakyat terhadap produk tempatan.

“Kita tak nak rakyat semata-mata membeli, tetapi kita nak rakyat yakin dengan barangan tempatan dan juga yakin dengan kualitinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM pada hari pertama Festival Jom Malaysia 2026 yang berlangsung di Pekarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, di sini.

Turut dianjurkan bersempena festival selama empat hari itu, Jualan Rahmah MADANI, selain pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga, antaranya aktiviti belon udara panas.

Pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah, kuiz dan pertandingan serta menyaksikan persembahan sketsa boria Pulau Pinang dan artis-artis tempatan.

Majlis penutupan festival pada Ahad ini dijadual disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.