
KUCHING, 17 September – Kerajaan bersetuju memperluas kemudahan pemindahan kelayakan BUDI Diesel, berkuat kuasa serta-merta.
- Kerajaan memperluas kemudahan pemindahan kelayakan BUDI Diesel, berkuat kuasa serta-merta.
- Pemilik dengan lebih satu kenderaan diesel boleh memindahkan kelayakan kepada sehingga tiga kenderaan; sebelum ini hanya kepada ahli keluarga terdekat.
- Pemindahan kelayakan bulanan BUDI Diesel tertakluk kepada permohonan rayuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, pemilik berdaftar kenderaan diesel persendirian milik individu yang layak boleh memindahkan kelayakan kepada individu yang benar-benar menggunakan kenderaan berkenaan.
“Selain itu, pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada sebuah kenderaan diesel dibenarkan memindahkan kelayakan BUDI Diesel kepada sehingga tiga kenderaan.
“Sebelum ini, pemindahan kelayakan hanya dibenarkan kepada ahli keluarga terdekat,”kata Datuk Seri Anwar ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCKK) di sini, malam tadi.
Perdana Menteri bagaimanapun, menyatakan pemindahan kelayakan bulanan inisiatif BUDI Diesel kenderaan itu tertakluk kepada permohonan rayuan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan domestik sekali beri sebanyak RM500 kepada pelajar baharu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang layak bagi sesi kemasukan September atau Oktober ini.
“Inisiatif bakal memberi manfaat kepada 7,095 pelajar yang perlu menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan untuk memulakan pengajian masing-masing,”kata Perdana Menteri.