Bekas pengurus projek mengaku tidak bersalah pecah amanah RM14,000

Mohamad Hashim Mukhatap, 53, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen kota Bharu./ RTM

KOTA BHARU, 15 September – Seorang bekas pengurus projek pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang penalti berjumlah RM14,000 bagi projek pembinaan bangunan komersial milik Tabung Haji pada 2017 dan 2018.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh didakwa memasukkan wang penalti projek ke akaun peribadi.
  • Wang penalti berkaitan projek cadangan bangunan komersial 22 tingkat di Lot 273, Seksyen 12, Kota Bharu.
  • Pertuduhan dibawa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, hukuman penjara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit.
  • Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, syarat lapor bulanan SPRM, serah pasport dan tidak ganggu saksi.

Mohamad Hashim Mukhatap, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan pengurus pembinaan THP Timur Sdn Bhd didakwa melakukan pecah amanah dengan memasukkan RM14,000 ke dalam akaun bank miliknya.

Wang berkenaan adalah hasil kutipan penalti yang dikenakan terhadap kontraktor, Kelpile Sdn Bhd, bagi projek cadangan membina dan menyiapkan sebuah bangunan komersial 22 tingkat di atas Lot 273, Seksyen 12, Kota Bharu.

Projek berkenaan merangkumi pembinaan pangsapuri perkhidmatan, penthouse, kemudahan awam, ruang perniagaan, tempat letak kereta, aras bawah tanah tambahan serta kemudahan berkaitan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Sofea Residensi, Seksyen 12, Kota Bharu, antara 15 November 2017 hingga 8 Ogos 2018.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar, manakala tertuduh diwakili peguam Fahmi Abd Moin.

Terdahulu, Mariah mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat SPRM, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi.

Bagaimanapun, Fahmi memohon mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan alasan anak guamnya menanggung anak-anak yang masih bersekolah serta ibu selain memberikan kerjasama baik kepada SPRM dan mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam setiap bulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 19 Oktober depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.