
LABUAN, 14 September – Seorang pengusaha kedai alat permainan dikompaun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan apabila gagal mengemukakan Notis Jualan Murah.
- Premis mengadakan promosi jualan murah tetapi gagal mengemukakan Notis Jualan Murah kepada Pengawal seperti diwajibkan.
- Jika sabit kesalahan, peniaga boleh didenda sehingga RM250,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
- KPDN menegaskan Notis penting untuk memastikan promosi teratur, telus dan tidak mengelirukan pengguna; pemantauan akan dipergiat.
Kesalahan itu dikesan pasukan penguatkuasa di pusat membeli belah di pulau itu.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain menerusi kenyataan berkata, pemeriksaan mendapati premis berkenaan sedang mengadakan promosi jualan murah, namun gagal mengemukakan Notis Jualan Murah kepada Pengawal sebagaimana diwajibkan bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].
Beliau berkata jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM250,000 atau penjara selama tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Tegas Junaidah, keperluan mengemukakan Notis Jualan Murah penting bagi memastikan sesuatu promosi dilaksanakan secara teratur dan telus serta maklumat harga yang ditawarkan kepada pengguna tidak mengelirukan.
KPDN akan mempergiat pemantauan terhadap aktiviti promosi dan jualan murah di premis perniagaan. Justeru peniaga diminta memastikan amalan perdagangan yang adil dan beretika.