
KERALAM, 14 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam supaya tidak meninggalkan turath atau warisan keilmuan Islam meskipun menguasai teknologi dan ilmu moden.
- Umat Islam mesti menguasai teknologi dan ilmu moden tanpa mengetepikan turath keilmuan Islam.
- Al-Quran, sunnah dan karya ulama terdahulu harus terus menjadi asas tradisi keilmuan, bukan ditinggalkan.
- Turath memupuk nilai toleransi, hikmah dan menyokong pendekatan MADANI untuk keharmonian masyarakat berbilang agama.
Beliau berkata, penguasaan ilmu moden tidak seharusnya menyebabkan umat Islam mengetepikan al-Quran, sunnah serta karya ulama terdahulu yang menjadi asas tradisi keilmuan Islam.
“Masalah kita ialah kita mengambil ilmu tetapi melupakan warisan sendiri, termasuk al-Quran dan sunnah.
“Turath atau warisan Islam sangat penting kerana ia menunjukkan nilai toleransi dan hikmah, termasuk dalam hubungan dengan masyarakat Islam, Hindu, Kristian dan Buddha,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ‘Gathering of Honour Prime Minister Malaysia’ di Markazu Saquafathi Sunniya, yang turut dikenali sebagai Jamia Markaz, di sini.
Beliau turut menekankan pendekatan Malaysia MADANI yang berasaskan sikap saling menghormati, keharmonian dan persahabatan antara masyarakat berbilang kaum serta agama.
Katanya, pendekatan itu tetap berpaksikan Islam dan kerangka moral dalam membentuk masyarakat yang harmoni serta saling menghormati.