Dunia Islam perlu kuasai AI, teknologi moden elak pengaruh negatif – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri majlis ‘Gathering of Honour Prime Minister Malaysia’ serta majlis ilmu di Markazu Saquafathi Sunniya di Keralam / Foto BERNAMA

KERALAM, 14 September – Dunia Islam perlu menguasai kecerdasan buatan (AI) dan teknologi moden bagi menghadapi perkembangan dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penguasaan teknologi mesti disertai pemeliharaan agama, nilai moral dan warisan Islam agar masyarakat tidak mudah terpengaruh.
  • Tanpa ilmu, kita akan gagal; kurang memahami AI boleh membawa penjajahan pengaruh asing terhadap pendirian kita.
  • Ulama dan masyarakat Islam harus memahami perkembangan AI untuk mengelak pendedahan kepada pengaruh negatif.
  • Kemajuan teknologi mesti dipandu agama dan nilai moral kerana ia boleh mempengaruhi etika, kepercayaan dan nilai masyarakat.

Beliau berkata, penguasaan teknologi perlu seiring dengan pemeliharaan agama, nilai moral dan warisan Islam supaya masyarakat tidak mudah dipengaruhi kuasa luar.

“Tanpa ilmu, kita akan gagal. Tanpa memahami AI, kita akan dijajah oleh kuasa asing untuk melemahkan pendirian kita,” katanya ketika berucap pada majlis ‘Gathering of Honour Prime Minister Malaysia’ di Markazu Saquafathi Sunniya, yang dihadiri kira-kira 2,000 tetamu termasuk ulama dan pelajar Muslim.

Datuk Seri Anwar berkata, golongan ulama dan masyarakat Islam juga perlu memahami perkembangan AI kerana kekurangan pengetahuan mengenainya boleh mendedahkan mereka kepada pengaruh negatif.

Menurutnya, kemajuan teknologi perlu dipandu oleh agama dan nilai moral kerana penggunaannya boleh mempengaruhi nilai, etika serta kepercayaan masyarakat jika tidak ditangani dengan berhati-hati.

Dalam pada itu, mengenai lawatannya ke Keralam, Datuk Seri Anwar berkata, negeri itu mempunyai hubungan sejarah yang erat dengan dunia Melayu, dan memainkan peranan penting dalam penyebaran serta perkembangan ilmu Islam di seluruh Kepulauan Melayu termasuk Singapura, Brunei, Indonesia dan selatan Filipina.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.