Karnival Kita MADANI tampil pendekatan taklimat interaktif

Foto RTM

TUMPAT, 12 September– Pendekatan interaktif menerusi sesi taklimat ringkas dan soal jawab pada Karnival Kita MADANI di Pulau Seri Tanjung di sini bagi memudahkan masyarakat memahami dasar serta inisiatif Kerajaan MADANI.

RINGKASAN BERITA AI
  • 24 jabatan, agensi dan pihak swasta membuka reruai untuk maklumat perkhidmatan, produk dan isu semasa.
  • YADIM, PERKESO, FAMA dan agensi lain dijemput bagi memperluas penglibatan.
  • Pengunjung mendapat maklumat serta perkhidmatan terus daripada agensi selain menikmati Jualan Rahmah.
  • Program sampingan: Ziarah Kasih, Bice-Bice Set Kito, Maulud dan wayang pacak untuk penduduk pulau.

Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan Ahmad Ammar Othman berkata pendekatan itu membolehkan peserta bukan sahaja menerima maklumat, malah berpeluang mengemukakan soalan secara terus kepada jabatan dan agensi berkaitan.

Katanya, setiap sesi taklimat dirangka secara ringkas dan padat serta disertakan sesi soal jawab bagi memastikan penyampaian maklumat tidak bersifat sehala.

“Salah satunya untuk kita menyampaikan maklumat kerajaan, khususnya Kerajaan Malaysia MADANI. Jadi, sebagai mana pasar, kita kena bawa dan jemput penglibatan jabatan dan agensi.

“Kali ini kita bawa YADIM, PERKESO, FAMA dan banyak lagi. Di samping pameran, kita turut adakan taklimat yang bersifat interaktif, pendek dan terus ada soal jawab”, ujarnya.

beliau turut berkata sebanyak 24 jabatan, agensi dan pihak swasta terlibat dalam karnival itu, dengan masing-masing membuka reruai bagi menyediakan maklumat berkaitan perkhidmatan, produk serta isu semasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kita MADANI di Pulau Seri Tanjung di sini, hari ini.

Katanya, pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat serta perkhidmatan secara terus daripada agensi terbabit, selain menikmati Jualan Rahmah.

Karnival yang bermula semalam itu turut diisi dengan program Ziarah Kasih di sekitar Pulau Seri Tanjung serta Bice-Bice Set Kito dan Maulud di Masjid Al Ahmadiah Teluk Renjuna yang dihadiri lebih 100 penduduk.

Selain itu, JaPen Kelantan turut menyediakan program wayang pacak dengan tayangan filem terbaharu untuk penduduk di gugusan kepulauan Tumpat.

Beliau berkata sambutan menggalakkan dengan kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus menunjukkan masyarakat menerima baik usaha membawa maklumat dan perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada komuniti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.