
MARAN, 10 September – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang menyelaras pemindahan 21 pesakit ke hospital berdekatan susulan kebakaran yang berlaku di bahagian siling wad kanak-kanak Hospital Jengka pada Rabu.
- Wad kanak-kanak turut menempatkan pesakit wanita dewasa sementara akibat kerja pengubahsuaian di wad wanita.
- Ketika kejadian, terdapat 11 pesakit kanak-kanak dengan 11 waris dan 10 pesakit wanita dewasa di wad.
- Sepuluh pesakit wanita dewasa dan tiga pesakit kanak-kanak dipindahkan ke Hospital Jerantut.
- Lapan pesakit kanak-kanak dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, keadaan terkawal, tiada kecederaan; punca kebakaran masih disiasat.
Kenyataan JKN Pahang memaklumkan, wad berkenaan turut menempatkan pesakit wanita dewasa buat sementara waktu berikutan kerja pengubahsuaian yang sedang dijalankan di wad wanita.
Menurutnya, ketika kejadian, wad tersebut menempatkan 11 pesakit kanak-kanak bersama 11 waris, selain 10 pesakit wanita dewasa.
“Susulan kejadian, 10 pesakit wanita dewasa dan tiga pesakit kanak-kanak dipindahkan ke Hospital Jerantut, manakala lapan pesakit kanak-kanak dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk meneruskan rawatan.
Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengawal kebakaran dan keadaan di lokasi dilaporkan terkawal.
“Berdasarkan maklumat awal, kebakaran dipercayai bermula di bahagian bumbung wad berkenaan. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa,” jelasnya lagi.