
HANOI, 8 Sept – Vietnam muncul sebagai destinasi paling menarik di ASEAN bagi syarikat Eropah yang mahu mengembangkan perniagaan, dengan hampir dua pertiga firma yang ditinjau merancang meningkatkan kehadiran mereka di negara itu dalam tempoh lima tahun akan datang, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
- 64% firma Eropah merancang mengembangkan operasi di Vietnam dalam tempoh lima tahun akan datang.
- 78% menjangka perdagangan dan pelaburan syarikat mereka di ASEAN meningkat dalam tempoh lima tahun.
- 81% berkata ketidaktentuan dasar tarif Amerika Syarikat mengurangkan keyakinan mereka terhadap operasi di ASEAN.
Dalam Tinjauan Sentimen Perniagaan ke-12 Majlis Perniagaan EU-ASEAN yang dikeluarkan baru-baru ini, sebanyak 64 peratus responden berkata mereka merancang untuk mengembangkan operasi di Vietnam, mengatasi Indonesia sebanyak 57 peratus, Malaysia dan Thailand masing-masing 49 peratus, Singapura 44 peratus dan Filipina 43 peratus.
Tinjauan yang mengumpulkan maklum balas daripada kira-kira 150 pemimpin perniagaan Eropah itu turut menunjukkan jangkaan yang lebih kukuh terhadap perdagangan dan pelaburan di seluruh ASEAN.
Sebanyak 78 peratus menjangkakan perdagangan dan pelaburan syarikat mereka di ASEAN akan meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang, berbanding 71 peratus pada 2025.
Sementara itu, 78 peratus responden berkata mereka merancang mengembangkan operasi di sekurang-kurangnya satu pasaran ASEAN, dengan Vietnam dan Indonesia terus menjadi dua destinasi utama.
Untuk tahun keempat berturut-turut, ASEAN dilihat menawarkan peluang ekonomi paling kukuh, dipilih oleh 61 peratus responden, meningkat daripada 56 peratus tahun lepas, menurut tinjauan itu.
Syarikat Eropah menunjukkan komitmen kukuh terhadap ASEAN, dengan minat untuk melabur meningkat apabila kebanyakan syarikat merancang mengembangkan operasi di rantau ini, kata Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan EU-ASEAN Chris Humphrey.
Walaupun prospek positif, persekitaran perdagangan dan pelaburan ASEAN terus berdepan cabaran. Sebanyak 81 peratus responden berkata ketidaktentuan berkaitan dasar tarif Amerika Syarikat menyebabkan mereka sekurang-kurangnya kurang yakin untuk menjalankan operasi di ASEAN.
– BERNAMA-VNA