
PETALING JAYA, 7 September – Atlet para tenpin boling Sarawak Nur Syazwani Marais mencipta hatrik kejuaraan dalam acara perseorangan wanita TPB4 (kecacatan intelektual) selepas sekali lagi meraih pingat emas pada Para SUKMA Selangor 2026 hari ini.
- Syazwani meneruskan penguasaan acara TPB4, juga juara Para SUKMA Kuala Lumpur 2022 dan Sarawak 2024.
- Dia mengumpul 1,094 jatuhan pin dalam enam permainan: 166, 183, 188, 190, 211, 156.
- Muhammad Haiqal (Sabah) juara TPB2 terbuka dengan 990 jatuhan pin, manakala S. Joash Daniel Shan juara perseorangan lelaki TPB4 dengan 1,336.
Kejayaan itu menyaksikan Syazwani meneruskan penguasaannya dalam acara berkenaan selepas turut muncul juara pada Para SUKMA Kuala Lumpur 2022 dan Para SUKMA Sarawak 2024.
Aksi di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, Syazwani tampil cemerlang apabila mengumpul 1,094 jatuhan pin menerusi enam permainan dengan catatan 166, 183, 188, 190, 211 dan 156.
Wakil tuan rumah Eliyana Johari pula sekadar meraih perak dengan 1,026 jatuhan pin, manakala seorang lagi atlet Sarawak Azeera Jalani membawa pulang gangsa selepas mencatat 966 jatuhan pin.
Sementara itu, acara terbuka campuran TPB2 (kecacatan intelektual) menyaksikan wakil Sabah Muhammad Haiqal Azani Azman meraih pingat emas dengan 990 jatuhan pin.
Pingat perak menjadi milik wakil Perak Mohd Shaiful Mustapa dengan 935 jatuhan pin, manakala Nizamuddin Shahidin, juga dari Perak, meraih gangsa dengan 906 jatuhan pin.
Dalam acara perseorangan lelaki TPB4 (kecacatan intelektual), atlet Kedah S. Joash Daniel Shan muncul juara selepas mencatat 1,336 jatuhan pin.
Muhammad Razif Iskandar Abd Muiz dari Selangor meraih perak dengan 1,268 jatuhan pin, manakala Muhammad Harith Azhfar Hazlan dari Terengganu membawa pulang gangsa selepas mencatat 1,264 jatuhan pin.