
KUALA LUMPUR, 7 September – Sambutan Hari Malaysia 2026 di Sarawak mengetengahkan elemen penyatuan, kepelbagaian budaya dan keunikan masyarakat Malaysia dalam usaha memperkukuh semangat kebersamaan rakyat.
- Fokus sambutan pada sejarah pembentukan Malaysia serta perjuangan pemimpin menyatukan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
- Pengisian acara akan diterjemah menerusi persembahan di Borneo Convention Centre Kuching.
- Kementerian Komunikasi bekerjasama dengan kerajaan negeri dan penganjur untuk tonjolkan kepelbagaian dan memupuk semangat kebersamaan selaras Malaysia MADANI.
Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Kementerian Komunikasi, Harun Ali berkata, meskipun sambutan berkenaan diadakan setiap tahun, pengisian yang diketengahkan berbeza mengikut pendekatan negeri tuan rumah.
“Sambutan tahun ini akan memberi tumpuan kepada sejarah pembentukan Malaysia serta perjuangan pemimpin terdahulu dalam menyatukan Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Tambahnya, elemen itu akan diterjemahkan menerusi persembahan pada sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Borneo Convention Centre Kuching.
Harun berkata, Kementerian Komunikasi turut mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri dan pihak penganjur bagi memastikan pengisian sambutan menampilkan kepelbagaian serta kebersamaan rakyat di seluruh Malaysia.
Mengulas konteks Malaysia MADANI, Harun berkata, pemahaman terhadap sejarah pembentukan Malaysia penting dalam menyemai semangat cintakan negara tanpa mengira latar belakang.
Menurutnya, keistimewaan Hari Malaysia terletak pada penghayatan terhadap semangat penyatuan dan kebersamaan antara tiga wilayah berbanding Hari Kebangsaan yang lebih menjurus kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Katanya, semangat kebersamaan itu perlu terus dipupuk menerusi sambutan Hari Malaysia sebagai wadah memperkukuh perpaduan serta menghargai kepelbagaian budaya, agama dan negeri dalam kalangan rakyat Malaysia.