
KLANG, 7 September – PUSPAKOM Sdn. Bhd. melancarkan GiCheck Auto Weekend 2026, program komuniti yang julung kali dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan jalan raya serta kepentingan pemeriksaan kenderaan.
- Program komuniti tingkat kesedaran keselamatan jalan raya melalui pendidikan, pemeriksaan kenderaan dan pengalaman automotif mesra keluarga.
- PUSPAKOM perkenal operasi tujuh hari seminggu di pusat pemeriksaan terpilih bagi memberi fleksibiliti dan kemudahan kepada pelanggan.
- Umum PUSPAKOM Towering Malaysian Awards serta aktiviti interaktif seperti demonstrasi pemanduan selamat, simulasi DUI, pemeriksaan tayar dan pameran ADAS.
Berlangsung selama dua hari di kawasan parkir terbuka AEON Bukit Tinggi, Klang, program bertemakan “Driving Safer Roads Together” itu dianjurkan bersempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Program berkenaan menghimpunkan pelbagai aktiviti berkaitan pendidikan keselamatan jalan raya, pemeriksaan kenderaan, pengalaman automotif dan kemasyarakatan dalam suasana interaktif serta mesra keluarga.
Majlis pelancarannya disempurnakan Setiausaha Bahagian (Darat), Kementerian Pengangkutan, Datuk Mohamed Irwan bin Mansor, yang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Sri Jana Santhiran Muniayan.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, selain rakan industri, pihak berkepentingan, wakil media dan orang ramai.
Menurut Datuk Mahmood, keselamatan jalan raya bukan sekadar memastikan kenderaan memenuhi piawaian ditetapkan, sebaliknya turut bergantung pada kesedaran, sikap pemanduan bertanggungjawab dan komitmen bersama semua pengguna jalan raya.
Beliau berkata, penganjuran GiCheck Auto Weekend 2026 menjadi platform untuk menyampaikan pendidikan keselamatan secara lebih mudah diakses dan relevan kepada masyarakat, selain meningkatkan kefahaman mengenai peranan pemeriksaan kenderaan.
Dalam pada itu, PUSPAKOM memperkenalkan operasi tujuh hari seminggu di pusat pemeriksaan terpilih bagi memberi lebih fleksibiliti dan kemudahan kepada pelanggan.
PUSPAKOM turut mengumumkan PUSPAKOM Towering Malaysian Awards sebagai inisiatif baharu bagi menghargai individu yang memberi sumbangan kepada perubahan positif dalam kehidupan masyarakat, komuniti atau alam sekitar.
Sepanjang program, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi pemanduan selamat, simulasi DUI, demonstrasi seat belt convincer, kesedaran titik buta, pemeriksaan keselamatan tayar, pameran teknologi ADAS serta pengalaman pemanduan kanak-kanak.