
KUALA LUMPUR, 5 September – Tindakan kerajaan menangani isu Tabung Haji (TH) susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), termasuk siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), disifatkan wajar oleh orang ramai yang pada masa sama mahu pengurusan institusi itu diperkukuh dengan kawal selia lebih ketat dan telus.
- Audit berkala setiap dua hingga tiga bulan diperlukan untuk kenal pasti kelemahan dan tingkatkan keyakinan pendeposit.
- Hasil siasatan perlu dikongsi secara telus agar rakyat tahu punca dan cara kejadian, menurut responden.
- Komunikasi dengan pendeposit perlu diperkukuh dan langkah mencegah ketirisan dijelaskan bagi elak isu berulang.
- Perdana Menteri cadang kawal selia TH diperkukuh dengan penglibatan Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara; siasatan SPRM masih diteruskan.
Seorang pekerja swasta, Norhanida Hasbuddin berkata langkah berkenaan penting bagi memastikan sebarang kelemahan dalam pengurusan TH dapat dikenal pasti dan diperbaiki, sekali gus meningkatkan keyakinan pendeposit terhadap institusi berkenaan.
“Bagi menambah baik semula prestasi Tabung Haji mungkin perlu melaksanakan audit setiap tiga bulan atau dua bulan sekali. Ia penting bagi meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap proses penambahbaikan sistem baharu yang sedang dilaksanakan sekarang,” katanya ketika ditemui RTM.
Sementara itu, Rohaizad Roosli berkata tindakan yang dilakukan kerajaan adalah wajar. Namun, berpendapat hasil siasatan perlu dikongsikan secara telus kepada umum.
“Tindakan kerajaan pada masa ini amatlah wajar, cuma tindakan yang diambil perlu dikongsikan dengan lebih telus kepada umum.
“Masyarakat perlu tahu mengapa dan bagaimana perkara itu boleh berlaku, dan yang paling utama, apakah punca yang menyebabkan ia terjadi,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi responden yang ditemui, Iswady Ismail berpendapat komunikasi antara kerajaan dengan pendeposit perlu diperkukuh, selain langkah mencegah ketirisan perlu diperjelas bagi memastikan isu sama tidak berulang.
“Perlu ada komunikasi dengan pendeposit bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang. Kerajaan perlu menjelaskan langkah atau kaedah yang akan dilaksanakan bagi memastikan tiada lagi berlaku ketirisan pada masa depan.
“Secara tidak langsung, usaha ini dapat mengembalikan keyakinan pendeposit terhadap Tabung Haji,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengurusan TH wajar dikawal selia dengan lebih ketat bagi memastikan institusi itu ditadbir secara lebih berhemah dan telus.
Beliau turut mencadangkan supaya kawal selia TH diperkukuh dengan penglibatan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Siasatan SPRM susulan Laporan RCI TH pula masih diteruskan, dengan seorang bekas menteri ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu pajakan sebuah hotel di Arab Saudi.
Lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan pada 1 September dan direman selama lima hari bermula 2 September.