
BANGKOK, 2 September – Thailand akan mengurangkan separuh tempoh tinggal tanpa visa bagi pelancong dari lebih 60 negara dan wilayah kepada 30 hari, berkuat kuasa 15 September ini.
- Langkah bertujuan membendung jenayah melibatkan warga asing, termasuk kesalahan dadah, pemerdagangan seks dan perniagaan tanpa permit.
- Kementerian menyatakan China, Amerika Syarikat dan 27 negara EU termasuk antara yang terjejas oleh perubahan polisi.
- Status bebas visa bagi kira-kira 20 negara masih belum jelas menurut pegawai kementerian.
- Pelawat dari Peru, Brazil dan Korea Selatan akan diberi tempoh tinggal 90 hari; pelanjutan sekali atas budi bicara imigresen.
Menurut Kementerian Luar Thailand, langkah tersebut merupakan sebahagian usaha membendung jenayah membabitkan warga asing.
Beberapa siri tangkapan terbaharu melibatkan warga asing yang didakwa melakukan kesalahan berkaitan dadah, pemerdagangan seks serta menjalankan perniagaan seperti hotel dan sekolah tanpa permit yang sah.
Bawah skim pelancongan Thailand ketika ini, pelancong dari lebih 90 negara, termasuk 29 negara dalam zon Schengen di Eropah, China, India, Amerika Syarikat dan beberapa negara Amerika Selatan, layak berkunjung sehingga 60 hari tanpa visa.
“Tempoh kemasukan tanpa visa itu dikurangkan kepada 30 hari bagi pelancong dari lebih 60 negara dan wilayah, termasuk China, Amerika Syarikat dan 27 negara Kesatuan Eropah (EU), ” menurut Jabatan Hal Ehwal Konsular Kementerian Luar dalam kenyataan pada Selasa.
“Status bebas visa bagi kira-kira 20 negara lain masih belum jelas, ” kata seorang pegawai Kementerian yang enggan mengulas perkara itu.
Pelawat dari Peru, Brazil dan Korea Selatan pula akan diberikan tempoh tinggal tanpa visa selama 90 hari, berbanding 60 hari sebelum ini.
Pelancong juga dibenarkan memohon pelanjutan tempoh tinggal sekali sahaja, tertakluk kepada budi bicara pegawai imigresen, menurut jurucakap kerajaan kepada AFP pada Mei lalu ketika Kabinet meluluskan langkah berkenaan.
Pada Mei juga, Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow berkata, rancangan mengurangkan tempoh lawatan tanpa visa adalah sebahagian daripada usaha membanteras individu yang menyalahgunakan sistem visa untuk melakukan jenayah di negara berkenaan.
Menurut angka rasmi terkini, Thailand menerima 20.9 juta pelancong asing sejak awal tahun ini, susut tiga peratus berbanding tempoh sama pada 2025. – AFP