Malaysia hantar SMART, salur USD$1 juta bantu mangsa banjir Nepal

Foto FB Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Malaysia akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir yang melanda Nepal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana dan Kementerian Luar menyelaras penggerakan pasukan dengan Kerajaan Nepal segera.
  • Pasukan diamanahkan mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir di Nepal.
  • Malaysia menyalurkan sumbangan USD 1 juta kepada Nepal bagi bantuan mangsa dan sokongan pemulihan pascabencana.
  • KLN sahkan 55 rakyat Malaysia di Nepal dan 36 di China masih belum dapat dihubungi; kementerian menyemak silang maklumat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Keselamatan Negara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN) dipertanggungjawabkan menyelaras dengan Kerajaan Nepal bagi membolehkan pasukan berkenaan digerakkan sesegera mungkin.

“Pasukan SMART turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana berkenaan.

“Pasukan itu juga akan membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang terjejas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, Datuk Seri Anwar mengumumkan Malaysia akan menyalurkan sumbangan sebanyak USD$1 juta (kira-kira RM4.03 juta) kepada Nepal bagi membantu mangsa banjir yang terjejas serta menyokong usaha pemulihan pascabencana.

Semalam, KLN mengesahkan bahawa seramai 55 rakyat Malaysia di Nepal dan 36 rakyat Malaysia di China masih belum dapat dihubungi.

Kementerian terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di China dan Nepal, di samping menyemak silang maklumat dari kedua-dua negara bagi mengenal pasti sebarang pertindihan dalam laporan yang diterima.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.