
PERMATANG PAUH, 29 Ogos – Penguasaan bahasa Cina tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman terhadap kedudukan bahasa Melayu.
- Penguasaan bahasa Cina meningkatkan peluang ekonomi rakyat dan menjadi nilai tambah dalam pembangunan kerjaya.
- Bahasa Cina berkembang sebagai bahasa ekonomi rantau serta mendapat perhatian antarabangsa, memberi kelebihan akademik dan profesional.
- Asas penguasaan bahasa Melayu yang kukuh diperlukan sebelum mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina.
- Penguasaan bahasa tambahan bertujuan menambah peluang tanpa mengorbankan penguasaan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.
Sebaliknya, penguasaan bahasa itu merupakan nilai tambah dalam memperluas peluang ekonomi rakyat, selaras dengan perkembangannya sebagai bahasa ekonomi yang penting di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ucapannya pada Kemuncak Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, berkata bahasa Cina turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Ini termasuk dalam kalangan mahasiswa di Amerika Syarikat yang melihat penguasaan bahasa berkenaan sebagai satu kelebihan dalam bidang ekonomi.
Jelasnya, penguasaan bahasa tambahan mampu membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk mengembangkan potensi diri serta membina masa depan yang lebih baik.
Bagaimanapun, tegas beliau, penguasaan bahasa Melayu yang baik perlu menjadi asas sebelum seseorang menguasai bahasa tambahan.
“Bahasa Cina kini berkembang sebagai bahasa ekonomi rantau yang penting. Kalau saya katakan saya menggalakkan anak-anak menguasai bahasa Cina, syarat yang pertama ialah penguasaan bahasa Melayu mestilah cukup baik.
“Bahasa Cina ialah bahasa rantau. Kalau saya mengajar di Universiti Georgetown, Washington, DC, mahasiswa diberi pilihan untuk mempelajari bahasa kedua selain bahasa Inggeris. Antara bahasa yang popular ialah bahasa Perancis, bahasa Sepanyol dan bahasa Cina. Namun, ramai yang memilih untuk menguasai bahasa Cina dan itu tidak merugikan.
“Penguasaan bahasa Cina merupakan satu keperluan ekonomi untuk menjamin kepentingan dan masa depan sendiri.
“Ia bukan dilakukan dengan mengorbankan penguasaan bahasa Inggeris, sebaliknya untuk memberikan peluang tambahan bagi meningkatkan dan mengembangkan potensi diri,” katanya.
Program tersebut dihadiri kira-kira 2,000 peserta terdiri daripada golongan pelajar.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.