
SHAH ALAM, 29 Ogos – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan cadangan supaya satu sistem dibangunkan bagi membolehkan alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyumbang kepada universiti berkenaan.
- Cadangan sumbangan alumni RM10 sebulan atau RM100 setahun mampu menjana sehingga RM100 juta setahun untuk pembangunan UiTM.
- Dana itu boleh dimanfaatkan membantu mahasiswa baharu dan sedia ada berdepan kemiskinan serta kesukaran pembiayaan pendidikan.
- Inisiatif itu membuktikan penghayatan warga universiti dan alumni terhadap slogan 'UiTM Dihatiku' serta penghargaan jasa institusi.
- Titah menyeru pembelaan Melayu dan Bumiputera melalui peluang, pendidikan, akal budi, amanah dan adab tinggi.
Baginda bertitah, sumbangan sekurang-kurangnya RM10 sebulan atau RM100 setahun berpotensi menjana sehingga RM100 juta setahun untuk pembangunan UiTM serta membantu mahasiswa yang memerlukan.
“Di sini, Beta ingin mencadangkan agar satu sistem dibangunkan supaya setiap alumni boleh menyumbang sekurang-kurangnya RM10 sebulan atau RM100 setahun kepada UiTM sebagai tanda terima kasih dan penghargaan ke atas segala jasa bakti institusi ini sepanjang tempoh mereka menimba ilmu.
“Beta percaya nilai RM10 itu tidaklah membebankan dan mampu disumbangkan oleh setiap alumni. Anggaplah ia sebagai satu pengorbanan terhadap kelangsungan UiTM,” titah Baginda pada Majlis Titah Diraja bertemakan ‘Kecemerlangan Institusi Pendidikan Teras Pembangunan Negara’ di sini, pada Jumaat.
Berangkat sama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Majlis anjuran Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Sultan Sharafuddin bertitah, dana berkenaan boleh dimanfaatkan bagi membantu mahasiswa baharu dan sedia ada yang berdepan cabaran kemiskinan serta kesukaran meneruskan pembiayaan pendidikan.
Usaha itu juga dapat membuktikan penghayatan warga universiti dan alumni terhadap slogan ‘UiTM Dihatiku’ serta penghargaan terhadap peranan institusi berkenaan.
Sultan Sharafuddin turut bertitah pembelaan terhadap Melayu dan Bumiputera perlu dilaksanakan melalui peluang, pendidikan dan kekuatan supaya mereka mampu mencapai kecemerlangan berdasarkan ilmu serta kemampuan sendiri.
Baginda turut menegaskan generasi graduan bertanggungjawab meneruskan perjuangan generasi terdahulu dengan membuktikan kemampuan anak Melayu dan Bumiputera mencapai kecemerlangan apabila diberikan peluang yang adil.
“Di kesempatan ini, Beta ingin mengingatkan seluruh warga UiTM untuk maju dan membangun bersama acuan tersendiri dalam memacu kelompok Bumiputera profesional beradab yang utuh dengan ‘DNA-UiTM’.
“Acuan ini berasaskan pemikiran yang rasional, perasaan yang positif, semangat yang padu, aspirasi yang ke hadapan, serta tingkah laku yang mulia,” titah Baginda.
Titah Baginda, UiTM telah berkembang daripada institusi yang memperjuangkan akses pendidikan kepada institusi yang melahirkan graduan, pemimpin dan peneraju industri.
Baginda menzahirkan harapan supaya peranan itu terus diperkukuh dengan memastikan UiTM kekal menjadi benteng pendidikan Melayu dan Bumiputera yang cemerlang serta berwawasan.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan nasihat agar seluruh warga UiTM sentiasa mengutamakan nilai akal budi, amanah dan adab yang tinggi demi memastikan perjuangan institusi itu terus relevan untuk generasi akan datang.