
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Permodalan Nasional Berhad (PNB), melalui syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), mengumumkan agihan pendapatan berjumlah RM1.31 bilion bagi Amanah Saham Malaysia 2 Wawasan (ASM 2 Wawasan) untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026.
- Kadar agihan 5.00 sen seunit, meningkat daripada 4.75 sen, menjadikan ia pengagihan tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
- Agihan ini memanfaatkan lebih 1.01 juta pemegang unit dengan pegangan sekitar 26.3 bilion unit.
- Kadar agihan 5.00 peratus mengatasi penanda aras Deposit Tetap Maybank 12 bulan 2.01 peratus, iaitu 299 mata asas.
- Prestasi kukuh disokong pengurusan portfolio berdisiplin, pengurusan risiko berhemat dan pelaburan terpilih serta pendapatan dividen dan keuntungan terealisasi.
PNB dalam satu kenyataan memaklumkan, agihan itu bersamaan 5.00 sen seunit, meningkat daripada 4.75 sen seunit berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menjadikan ia pengangihan pendapatan tertinggi ASM 2 dalam tempoh tujuh tahun.
Jelas PNB, agihan itu memanfaatkan lebih 1.01 juta pemegang unit dengan pegangan sebanyak 26.3 bilion unit.
“Kadar pengagihan sebanyak 5.00 peratus ini mengatasi penanda arasnya, iaitu kadar Deposit Tetap Maybank 12 Bulan pada paras 2.01 peratus sebanyak 299 mata asas.
“Sehingga 24 Ogos 2026, ASM 2 Wawasan mencatatkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM1.43 bilion,” katanya dalam kenyataan sama.
Katanya, prestasi yang lebih kukuh ini mencerminkan daya tahan dana dalam mendepani persekitaran pelaburan yang semakin tidak menentu, terutamanya oleh peningkatan ketegangan geopolitik, termasuk konflik yang berterusan di Asia Barat.
“Ini disokong oleh pengurusan portfolio yang berdisiplin, pengurusan risiko yang berhemat serta penempatan pelaburan secara terpilih dalam segmen yang mempunyai potensi pertumbuhan struktur yang kukuh,” kata PNB.
Jelas PNB, pendapatan dana turut disokong oleh keuntungan terealisasi dan pendapatan dividen daripada pelaburan terpelbagai dalam ekuiti domestik dan global.
“Pada masa sama, peruntukan dalam aset pendapatan tetap, hartanah dan ekuiti persendirian pula membantu mempelbagaikan sumber pendapatan serta mengurangkan kesan perubahan keadaan pasaran terhadap portfolio,
“Pemegang unit yang telah memilih pengaturan zakat khultah (Kelas B) akan menerima dividen bersih selepas zakat, dengan potongan sebanyak 2.57 peratus daripada dividen, yang menghasilkan anggaran kadar dividen bersih sebanyak 4.87 peratus berdasarkan kadar agihan yang diisytiharkan sebanyak 5.00 peratus,” jelasnya.