
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Orang ramai yang akan menghadiri Dataran Merdeka dan Putrajaya sempena Festival Ambang Merdeka 2026 serta Sambutan Hari Kebangsaan 2026 diingatkan untuk tidak mencemarkan lokasi sambutan dengan sampah.
- SWCorp menjangkakan peningkatan sisa termasuk bekas makanan, botol plastik dan pembungkus pada sambutan.
- Kebersihan perlu jadi tanggungjawab rakyat; disiplin menjaga kebersihan turut meningkatkan imej dan bukti cinta kepada negara.
- SWCorp akan perketat pemantauan dan penguatkuasaan; pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau khidmat masyarakat 12 jam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam kenyataan memaklumkan, kementerian itu menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menjangkakan peningkatan sisa buangan termasuk bekas makanan dan minuman, botol plastik, pembungkus makanan serta barangan pakai buang ketika festival itu berlangsung.
Beliau berkharap, pengunjung memastikan sampah dibuang ke tempat yang disediakan sebelum meninggalkan lokasi sambutan selain mengingatkan, sambutan Hari Kebangsaan perlu diterjemahkan bukan sahaja melalui semangat patriotik, tetapi melalui disiplin dan tanggungjawab rakyat dalam menjaga kebersihan negara.
“Kita mahu rakyat Malaysia turun beramai-ramai menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh semangat tetapi selepas kita melaungkan ‘Merdeka’, janganlah tinggalkan sampah merata-rata.
“Cinta kepada negara bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang tetapi turut dibuktikan melalui sikap kita menjaga kebersihan negara dan meningkatkan imej negara,” menurut kenyataan itu hari ini.
Pengalaman termasuk ketika Dataran Merdeka dipenuhi sampah selepas aksi akhir Piala Dunia 2026, perlu dijadikan iktibar agar perkara sama tidak berulang.
“Kebersihan bukan tanggungjawab petugas pembersihan semata-mata. Kita mahu Dataran Merdeka dan Putrajaya kekal bersih selepas sambutan kemerdekaan,” tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu, SWCorp akan memperketatkan pemantauan dan penguatkuasaan dengan menempatkan anggota penguat kuasa di lokasi-lokasi tumpuan sepanjang sambutan.
Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam dan orang ramai diingatkan bahawa kesalahan berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000, manakala mahkamah turut boleh mengenakan Perintah Khidmat Masyarakat sehingga maksimum 12 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.