
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos – Seorang jurutera awam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Mohd Nizam Mohd, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas lima pertuduhan menipu lima kontraktor membabitkan jumlah RM18,198.00
- Didakwa memperdaya lima kontraktor antara 2023 dan 2024 untuk wang pembelian peralatan, bayaran perkhidmatan serta sumbangan program dan kelab.
- Wang hasil penipuan didakwa dipindahkan ke akaun bank milik isteri tertuduh.
- Pertuduhan dibawa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit.
- Mahkamah benarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, serah pasport, larang komunikasi saksi, laporan bulanan ke SPRM; sebutan semula 24 September.
Mohd Nizam didakwa melakukan kesalahan itu antara 2023 hingga 2024 dengan memperdayakan lima kontraktor untuk menyerahkan wang bagi tujuan pembelian peralatan, bayaran perkhidmatan serta sumbangan program dan kelab UniSZA.
Wang berjumlah RM18,198.00 itu didakwa dipindahkan ke akaun bank milik isterinya.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amalina Najwa Mohd Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin.
Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000.00 dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh turut dilarang berkomunikasi dengan saksi pendakwaan sehingga selesai perbicaraan dan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Terengganu pada lima haribulan setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 24 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.