
BANDARAYA MELAKA, 25 Ogos – Dua lokasi di Melaka iaitu Alor Gajah dan Bukit Rambai merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat setakat 10 pagi ini.
- Kerajaan negeri memantau perkembangan kualiti udara di Melaka dari semasa ke semasa.
- Orang ramai diminta tidak panik, ambil langkah berjaga-jaga dan mengelakkan pembakaran terbuka.
- Golongan sensitif seperti pesakit asma, kanak-kanak dan wanita hamil diminta beri perhatian serius.
- APIMS: 0-50 baik; 51-100 sederhana; 101-200 tidak sihat; 201-300 sangat tidak sihat; >300 berbahaya.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, Alor Gajah mencatat bacaan IPU 151 manakala Bukit Rambai merekodkan 155.
“Kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan kualiti udara di Melaka dari semasa ke semasa.
“Orang ramai diminta tidak panik, sebaliknya terus mengambil langkah berjaga-jaga serta mengelakkan pembakaran terbuka,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menasihatkan golongan yang lebih sensitif terhadap perubahan kualiti udara, khususnya pesakit asma, kanak-kanak dan wanita hamil untuk mengambil perhatian serius terhadap keadaan cuaca semasa.
“Kurangkan aktiviti fizikal lasak atau terlalu lama di kawasan terbuka sekiranya keadaan udara kurang baik,” jelasnya.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 0 hingga 50 adalah baik dan 51 hingga 100 sederhana.
Bacaan antara 201 hingga 300 pula dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, sementara bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.