Sisa arang batu cemari Pantai Teluk Kalong

Sisa arang batu itu dipercayai berpunca daripada sisa tumpahan daripada sebuah tongkang yang hanyut dan karam/Foto BERNAMA

KEMAMAN, 23 Ogos — Pihak berkuasa diminta mengambil tindakan segera membersihkan sisa arang batu yang terdampar sepanjang kira-kira 300 meter di Pantai Peranginan Teluk Kalong.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pencemaran dipercayai berpunca daripada tongkang yang karam Januari lalu; struktur badan kini dipotong untuk dilupuskan.
  • MPK, JAS dan Jabatan Laut diseru menyiasat dan melaksanakan pembersihan pantai.
  • Penduduk dan nelayan mengadu sisa arang ganggu kebersihan, aktiviti laut dan tarikan pelawat; bimbang jumlah bertambah.

Sisa arang batu itu dipercayai berpunca daripada sisa tumpahan daripada sebuah tongkang yang hanyut dan karam berhampiran pantai berkenaan pada Januari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Laut Malaysia diminta menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

Katanya, pencemaran berkenaan dipercayai berpunca daripada sebuah tongkang yang karam di pantai itu Januari lalu dan kini sedang menjalani kerja pemotongan struktur badan untuk dilupuskan.

“Agensi terlibat turut diarahkan mengambil tindakan segera membersihkan arang batu di pantai berkenaan, sekali gus memastikan kawasan persisiran pantai kembali bersih, selamat dan selesa dikunjungi,” katanya.

Penduduk mendakwa sisa arang batu itu dihanyutkan arus ketika air laut pasang sebelum terdampar di sepanjang pantai, sekali gus menjejaskan kebersihan dan keindahan kawasan berkenaan.

Penduduk, Azhar Ngah, 64, berkata kejadian sama pernah berlaku Januari lalu susulan tumpahan arang batu daripada tongkang berkenaan sebelum kawasan pantai dibersihkan.

“Dalam dua tiga empat hari ini, sejak ombak kuat, jadi begini. Ia mengganggu nelayan dan pengunjung pantai, terutama orang luar. Kita minta pihak berkenaan bersihkan semula sebab tidak elok dipandang,” katanya.

Sementara itu, nelayan Mohamad Azrul Naim Rahim berkata keadaan pantai yang sebelum ini bersih mula dicemari sisa arang batu sejak tiga hari lalu.

“Mintak pihak berkenaan ambil tindakan segera bersihkan kawasan yang ada arang batu kerana ia mengganggu nelayan dan orang yang mahu mandi di sini,” katanya.

Bagaimanapun, pencemaran kali ini didapati tidak seteruk kejadian Januari lalu apabila jumlah sisa arang batu yang terdampar lebih sedikit dan tidak meliputi kawasan yang luas.

Penduduk bagaimanapun bimbang jumlah sisa berkenaan akan bertambah berikutan kerja pemotongan badan tongkang masih dijalankan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.