
SERDANG JAYA, 22 Ogos – Selangor mencipta kejayaan berganda menerusi Sasmita A. Ravi dan Preteish Anbucelvan apabila masing-masing meraih pingat emas acara Thanithiramai Kuthu Varisai Individu Wanita dan Lelaki pada aksi akhir sukan silambam, Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
- Sasmita A. Ravi raih emas Individu Wanita Thanithiramai Kuthu Varisai dengan 10.900 mata, tewaskan Vidyasri (Perak) dan Vynea (Sarawak).
- Sasmita berkata kejayaan hasil kesungguhan dan fokus; beliau bersyukur kerana menyasarkan pingat emas.
- Preteish Anbucelvan raih emas Individu Lelaki dengan 11.400 mata; Aswin (Perak) perak, Yoganath (Wilayah Persekutuan) gangsa.
- Acara silambam berlangsung 22 hingga 24 Ogos di Stadium MBSJ, Serdang Jaya; 14 pingat dipertandingkan.
Sasmita menepati sasaran untuk membawa pulang emas selepas mencatat 10.900 mata, mengatasi Vidyasri M Arutselvam dari Perak yang meraih perak dengan 10.433 mata, manakala gangsa menjadi milik Vynea Sija Anak Pehan dari Sarawak dengan 10.200 mata.
Sasmita menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil daripada kesungguhan dan fokusnya untuk merealisasikan sasaran meraih emas dalam acara berkenaan.
“Saya rasa sangat bersyukur dan gembira dengan kemenangan hari ini. Saya memang sasar untuk dapatkan pingat emas bagi kategori ini dan walaupun saingan sangat kuat, saya tetap berusaha untuk dapatkan pingat emas,” katanya ketika ditemui RTM.

Dalam acara Thanithiramai Kuthu Varisai Individu Lelaki pula, Preteish menghadirkan emas buat Selangor selepas mencatat 11.400 mata.
Aswin Sri Ganapathy dari Perak meraih perak dengan 10.967 mata, manakala Yoganath Aithangarajah dari Wilayah Persekutuan melengkapkan podium dengan pingat gangsa selepas mengumpul 10.633 mata.
Acara silambam berlangsung selama tiga hari dari 22 hingga 24 Ogos di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, dengan keseluruhan 14 pingat dipertandingkan.