Raja Muda Selangor jadi pembakar semangat, Selangor raih emas memanah

Foto Bernama

BANGI, 22 Ogos – Kehadiran Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, menyaksikan aksi final memanah Recurve Berpasukan Campuran di Stadium INSPEN, di sini hari ini, menjadi suntikan semangat buat skuad tuan rumah untuk menghadiahkan emas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nur Ieka Hariesya dan Muhammad Rizq Arif menang emas Recurve Berpasukan Campuran, tewaskan Pulau Pinang 6-0.
  • Pasangan Selangor singkirkan Wilayah Persekutuan 5-4 pada separuh akhir, aksi mendebarkan sebelum ke final.
  • Emas itu merupakan pingat pertama Selangor dalam acara memanah hari ini selepas dua perak dan tiga gangsa.

Gandingan Selangor, Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli dan Muhammad Rizq Arif Khairul Niezam, menampilkan aksi meyakinkan apabila menewaskan pasangan Pulau Pinang, M. Khiritigaa dan Ammar Muhaimin, 6-0 pada aksi final.

Kemenangan itu melengkapkan perjalanan cemerlang Selangor yang terlebih dahulu menyingkirkan Wilayah Persekutuan 5-4 pada separuh akhir.

Muhammad Rizq Arif berkata kehadiran Raja Muda Selangor, selain keserasian antara mereka, menyuntik keyakinan untuk kekal fokus sepanjang pertandingan.

“Antara faktor kemenangan ialah bonding yang baik dan kehadiran Raja Muda yang memberi semangat kepada kami. Kami hanya teruskan fokus ketika melakukan shooting untuk memastikan pingat emas,” katanya.

Nur Ieka Hariesya pula menyifatkan kejayaan itu cukup bermakna selepas melalui aksi separuh akhir yang mendebarkan.

“Perasaan bercampur-baur, ada sedih, gembira dan terharu. Memang sukar untuk menjangka keputusan selepas aksi menentang Wilayah Persekutuan, tetapi Alhamdulillah kami berjaya,” katanya.

Emas berkenaan merupakan pingat emas pertama Selangor dalam acara memanah hari ini, selepas mengumpul dua perak dan tiga gangsa sebelum ini.

Raja Muda Selangor turut berkenan menyampaikan pingat kepada para pemenang selepas tamat aksi final.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.