
PETALING JAYA, 21 Ogos – Pasukan skuasy wanita Melaka menamatkan penantian selama 32 tahun untuk merangkul pingat emas acara berpasukan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
- Melaka muncul juara selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam final penuh dramatik di Kompleks Sukan Astaka MBPJ.
- Gandingan mantap U. Thanusaa, Goh Zhi Xuan dan S. Janani mempamerkan ketenangan menempuh tekanan lawan.
- Thanusaa, pemenang pingat emas individu, puji semangat setiakawan dan dedikasi pasukan walau berdepan kecederaan.
- Dalam perlawanan penentuan gangsa, Wilayah Persekutuan menewaskan Kedah 2-1.
Kali terakhir Melaka naik ke kedudukan tertinggi podium ialah pada edisi 1994.
Dalam aksi final yang berlangsung penuh dramatik di Kompleks Sukan Astaka MBPJ, Melaka membuktikan kebangkitan luar biasa untuk menumbangkan pasukan pilihan, Negeri Sembilan dengan keputusan 2-1.
Kemenangan bersejarah itu dicipta gandingan mantap U. Thanusaa, 21, dan Goh Zhi Xuan, 21, serta S. Janani, 15 yang mempamerkan aksi cukup tenang meskipun menerima tekanan hebat daripada lawan.
Bagi Thanusaa yang juga pemenang pingat emas bagi acara individu, kejayaan ini adalah hasil semangat setiakawan yang utuh dalam kalangan pemain demi membawa pulang pingat yang amat didambakan Melaka.
“Memang mereka mempunyai pasukan yang hebat namun saya amat bangga dengan setiap rakan sepasukan kerana berjaya mengharungi tekanan untuk mendapatkan emas ini.
“Tekanan itu memang ada, tetapi bagi pasukan Melaka, kami mahu beraksi sehabis baik walaupun berdepan kecederaan, saya tetap bertahan demi pasukan dan semua penyokong di belakang saya. Saya terus memaksa diri dan bangga kami semua dapat melaluinya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di sini.
Dalam penentuan pingat gangsa, Wilayah Persekutuan menewaskan Kedah, 2-1.