
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedia memperkukuh usaha meluaskan asas eksport Malaysia, bagi memacu pertumbuhan perdagangan yang mampan dan berterusan.
- Memperkasa PMKS dan syarikat pertengahan untuk memastikan pertumbuhan perdagangan inklusif berasaskan keupayaan tempatan.
- Meluaskan integrasi rantaian nilai global melalui penyertaan di pameran dan platform perdagangan antarabangsa berimpak tinggi.
- Memperkukuh kapasiti eksport melalui Akademi MATRADE, penguatan infrastruktur e-dagang rentas sempadan dan kerjasama sektor awam dan swasta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abu Bakar Yusof ketika menyatakan komitmen itu menjelaskan, walaupun prestasi perdagangan semasa mencerminkan daya tahan yang kukuh, kejayaan jangka panjang memerlukan usaha berterusan, di samping menangani risiko penumpuan pasaran dan produk secara aktif.
“MATRADE kini sedang memperhebat usaha memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta syarikat peringkat pertengahan bertujuan memastikan pertumbuhan perdagangan yang inklusif, berasaskan kekuatan tempatan serta menjadi sebahagian daripada ekosistem rantaian bekalan global.
”Ini termasuk memperluas program integrasi rantaian nilai global menerusi platform perdagangan antarabangsa berimpak tinggi seperti Farnborough International Airshow, SEMICON West, dan ADIPEC,” jelasnya menerusi kenyataan.
Sejajar dengan pendedahan di peringkat antarabangsa, MATRADE turut memperkasa pembangunan kapasiti eksport menerusi penubuhan Akademi MATRADE yang merupakan inisiatif terancang bagi melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing dan bersedia untuk menembusi pasaran global.
Infrastruktur eksport digital juga terus dipertingkat menerusi integrasi erat platform e-dagang rentas sempadan, terutamanya Platform Perdagangan Digital MADANI (MDTP), eBizLink, dan eTrade, yang menghubungkan PMKS ke pasaran digital antarabangsa.
Hala tuju strategik itu diperkukuh menerusi kerjasama antara sektor awam dan swasta bersama rakan strategik seperti DHL, MARA, dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
“Usaha itu tidak boleh dicapai secara sendirian. Justeru, perkongsian strategik yang kukuh dan pendekatan keseluruhan kerajaan melalui Jawatankuasa Koordinasi Eksport (JK-X) yang teratur, kami komited untuk merealisasikan agenda perdagangan Malaysia secara berkesan di persada dunia,”katanya lagi.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Khamis, melaporkan jumlah perdagangan Malaysia mencecah RM2.16 trilion bagi tempoh Januari hingga Julai lepas, meningkat 24.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Prestasi positif itu didorong permintaan eksport yang kukuh, dengan peningkatan sebanyak 29.2 peratus kepada RM1.165 trilion, manakala import meningkat 19.8 peratus kepada RM994.71 bilion.
Lebihan dagangan melonjak 138.7 peratus kepada RM170.50 bilion, lebih dua kali ganda RM71.42 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas.