
PETALING JAYA, 20 Ogos – Minggu ketiga pelaksanaan Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL) menyaksikan seramai 104,640 pelajar daripada 932 sekolah di seluruh Selangor menerima manfaat makanan percuma dua kali seminggu.
- Kerajaan Negeri peruntuk RM12.55 juta bagi pelaksanaan NUTRISEL; RM7.82 juta daripada PBT, RM4.73 juta daripada UPEN.
- Inisiatif mensasarkan pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga B40 berpendapatan isi rumah di bawah RM2,000.
- Menu lengkap meliputi nasi, lauk, buah, sayuran dan minuman bagi menjamin nutrisi pelajar.
- Penyediaan dibuat oleh pengusaha kantin sekolah; pemantauan oleh sekolah, JPN dan UPEN, serta penilaian untuk kesinambungan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata program yang berlangsung hingga Oktober depan melibatkan sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Jabatan Agama Islam Selangor.
“Kerajaan Negeri memperuntuk RM12.55 juta ringgit bagi pelaksanaan NUTRISEL dengan RM7.82 juta daripada PBT dan RM4.73 juta daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Inisiatif itu menyasarkan pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kategori B40 khususnya keluarga berpendapatan isi rumah di bawah RM2,000,” katanya pada Majlis Simbolik Penyerahan Program NUTRISEL dan Penyampaian Program Bantuan Sekolah di sini.
Beliau berkata di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dato’ Harun (1), seramai 94 pelajar menerima manfaat NUTRISEL daripada keseluruhan 925 murid, manakala di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Medan, seramai 336 pelajar menerima manfaat daripada keseluruhan 1,427 pelajar.
“Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan NUTRISEL melibatkan sokongan daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Seramai kira-kira 150,000 hingga 160,000 pelajar daripada keseluruhan satu juta pelajar terlibat iaitu hampir 15 peratus daripada keseluruhan pelajar,” jelas beliau.
Menurut Datuk Seri Amirudin, sambutan terhadap NUTRISEL amat baik dengan kira-kira 90 peratus sekolah terlibat mengemukakan laporan berkaitan pelaksanaan program.
“Menu yang disediakan merangkumi hidangan lengkap seperti nasi bersama lauk, buah-buahan, sayuran dan minuman. Bagi memastikan kualiti serta keselamatan makanan terjamin, penyediaan makanan dibuat melalui pengusaha kantin di sekolah masing-masing dan bukannya katerer atau pembekal luar,” katanya.
Beliau menambah, pemantauan turut dilakukan pihak sekolah, JPN dan UPEN berdasarkan laporan yang diterima.
“Kerajaan Negeri akan menilai keberkesanan dan penerimaan NUTRISEL sepanjang tempoh pelaksanaan sebelum menentukan kesinambungan program pada masa akan datang.
Inisiatif itu bertujuan meringankan beban keluarga B40, selain memastikan pelajar mendapat nutrisi mencukupi bagi membantu mereka memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran,” tambah beliau lagi.