Lampu amaran khas bukan lesen abai keselamatan pengguna jalan raya lain – JSPT

Pasukan JSPT Bukit Aman meninjau lokasi nahas melibatkan sebuah lori Jabatan Imigresen yang mengorbankan 3 nyawa di Jalan Sultan Ismail, ibu negara, hari ini./ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Penggunaan lampu amaran khas atau siren bukan lesen untuk mana-mana kenderaan kecemasan atau penguat kuasa melanggar lampu isyarat merah dan menghiraukan keselamatan lalu lintas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Setiap pemandu, termasuk kenderaan agensi kerajaan, wajib utamakan keselamatan pengguna jalan raya walaupun semasa kecemasan.
  • Pengecualian penggunaan lampu siren di luar senarai hanya boleh diluluskan Menteri atas syor Ketua Pengarah JPJ mengikut Kaedah 24B(2).
  • Pengguna jalan raya diminta peka dan beri laluan; menurut Kaedah 9 perlahan, bergerak ke tepi atau berhenti bila terdengar siren atau melihat lampu amaran.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali menegaskan, setiap pemandu termasuk kenderaan agensi kerajaan tetap wajib memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain walaupun semasa kecemasan.

“Sesiapa sahaja tidak boleh mengatasi undang-undang. Dalam sesi libat urus sebelum ini, kita telah menjelaskan dengan jelas iaitu mana-mana kenderaan, walau dalam apa keadaan kecemasan sekalipun, apabila tiba di persimpangan lampu isyarat, perlu memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita hari ini semasa meninjau lokasi kemalangan melibatkan sebuah lori Jabatan Imigresen (JIM) yang mengorbankan 3 nyawa di Jalan Sultan Ismail, di ibu negara, pada Rabu.

Mengulas mengenai kebenaran penggunaan lampu siren, beliau berkata berdasarkan peruntukan di bawah Kaedah 24B(2) Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pindaan dan Penggunaan) 1959 (Pindaan 2024), pengecualian khas bagi sebarang penggunaan lampu siren di luar senarai yang dibenarkan hanya boleh diluluskan oleh Menteri Pengangkutan, atas syor daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tambah beliau, pengguna jalan raya juga digesa untuk sentiasa peka dan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan memberikan laluan keutamaan sekiranya terdapat kenderaan penguat kuasa ataupun yang bertindak dalam keadaan kecemasan yang sedang bergerak menjalankan tugas-tugas rasmi.

“Berdasarkan Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, pemandu diwajibkan memperlahankan kenderaan, beralih ke tepi atau berhenti bagi memberi laluan apabila mendengar bunyi siren amaran atau melihat lampu amaran khas (beacon light) daripada kenderaan penguat kuasa atau kenderaan kecemasan yang sedang menghampiri,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.