
ISKANDAR PUTERI, 20 Ogos – Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz berharap lima pemain milik kelab itu yang dipinjamkan kepada Kuching City FC tidak diturunkan dalam aksi Piala Sumbangsih 2026 di Stadium Sultan Ibrahim, esok.
- Kuching City berbahaya dengan transisi serangan pantas dan barisan pemain berkualiti, menjadikan aksi Piala Sumbangsih sukar untuk JDT.
- Xisco tekankan fokus taktikal, motivasi dan kecergasan pemain untuk menghadapi cabaran pasukan kendalian Aidil Sharin.
- JDT berpeluang mencipta rekod dunia baharu 109 perlawanan liga tanpa kalah jika menang atau seri esok.
Menurut Xisco, langkah itu penting kerana kelima-lima pemain berkenaan masih terikat kontrak dengan JDT, sekali gus dapat mengelakkan sebarang situasi atau kesilapan yang boleh menimbulkan spekulasi selepas perlawanan.
“Untuk perlawanan esok, saya harap bagi kedua-dua pihak adalah lebih baik sekiranya mereka tidak bermain.
“Sekiranya sesuatu berlaku dengan cara yang berbeza atau seseorang melakukan kesilapan besar, perkara itu boleh menjadi isu selepas perlawanan.
“Jadi, adalah lebih baik untuk memastikan keselamatan pemain dalam kes ini dan membantu mereka supaya selepas ini tidak timbul spekulasi atau perkara yang tidak sepatutnya,” katanya.
Aksi pembukaan musim itu dijangka menjadi cabaran buat JDT apabila Kuching City dilihat memiliki keupayaan melakukan transisi serangan dengan baik serta dibarisi pemain berkualiti.
Xisco berkata, anak buahnya perlu memberikan fokus sepenuhnya, khususnya dari aspek taktikal, motivasi dan fizikal bagi menghadapi cabaran skuad kendalian Aidil Sharin Ishak itu.
Menurutnya, Kuching City juga mempunyai kemampuan mengawal pelbagai fasa permainan, selain kerap mencatat kemenangan tipis dan merekodkan perlawanan tanpa bolos.
Dalam pada itu, JDT berpeluang mencipta rekod dunia baharu sekiranya berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam aksi liga.
Juara Liga Super itu kini menyamai rekod dunia 108 perlawanan liga tanpa kalah yang sebelum ini dipegang ASEC Mimosas dari Ivory Coast selepas menamatkan kempen Liga Super 2025/26 dengan kemenangan 14-1 ke atas Kelantan The Real Warriors pada Mei lalu.
Kemenangan atau keputusan seri menentang Kuching City esok akan membolehkan JDT merekodkan 109 perlawanan liga berturut-turut tanpa kalah, sekali gus mencipta rekod dunia baharu.
Sementara itu, penyerang JDT, Bergson Da Silva berkata setiap musim membawa cabaran dan sasaran baharu, namun kepentingan pasukan sentiasa menjadi keutamaan.
“Seperti yang saya selalu katakan, setiap kali saya hadir dalam sesi temu bual, saya sentiasa meletakkan pasukan dan kumpulan di hadapan berbanding sasaran peribadi.
“Sasaran kami sebagai pemain adalah untuk sentiasa memperbaiki diri. Kami tahu ia bukan sesuatu yang mudah kerana dalam setiap perlawanan, kami perlu menunjukkan sesuatu yang baharu dan beraksi dengan lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Ishak berkata persiapan pasukannya menghadapi perlawanan berkenaan turut berdepan cabaran apabila lima pemain utama gagal menyertai kem latihan pra-musim di Chiang Mai, Thailand akibat masalah visa.
Menurutnya, ketiadaan pemain berkenaan menyebabkan Kuching City tidak dapat menjalani persiapan terbaik dalam tempoh singkat yang diperuntukkan.
“Kami tidak mendapat persiapan terbaik kerana tidak mempunyai semua pemain untuk menjalani persiapan dalam tempoh yang singkat di Chiang Mai.
“Kami kehilangan beberapa pemain utama dan lima daripada mereka tidak dapat menyertai kem latihan. Mereka merupakan pemain penting yang pastinya akan banyak beraksi dalam perlawanan,” katanya.
Bagaimanapun, Aidil enggan mengulas lanjut mengenai lima pemain JDT yang dipinjamkan kepada Kuching City kerana menganggap perkara itu sebagai isu sensitif.