
SUBANG, 19 Ogos – Pahang terus menyerlah dalam acara menembak SUKMA 2026 apabila Cheah Zen Hong meraih pingat emas 10 meter Air Pistol Individu Lelaki pada aksi final di Lapang Sasar Negara Subang, hari ini.
- Zen Hong memecahkan rekod peribadi dengan catatan 236.8 mata.
- Beliau sebelum ini memecahkan rekod kelayakan SUKMA Sarawak bagi acara 10m dan 25m.
- SUKMA 2026 disifatkan penampilan terakhir dan beliau kini fokus persediaan untuk Sukan SEA 2027.
Zen Hong menamatkan saingan dengan catatan 236.8 mata, sekali gus memecahkan rekod peribadinya, manakala rakan senegeri, Ahmad Danial Hakim meraih perak dengan 234.6 mata. Lai Muhd Danial dari Sarawak melengkapkan podium dengan gangsa selepas mengumpul 213.3 mata.
Kejayaan itu turut menyaksikan Zen Hong mengekalkan fokus untuk mencapai sasaran prestasinya tanpa terlalu memikirkan soal pingat, sebaliknya memberi tumpuan kepada tahap pencapaian yang ditetapkan.
“Saya tidak mahu terlalu memikirkan soal pingat. Saya sedar tahap yang perlu saya capai. Jadi, saya akan berusaha mencapai sasaran tersebut dan berharap segala usaha yang dicurahkan dapat membantu menyumbang pingat untuk Pahang,” katanya ketika ditemui media.
Zen Hong sebelum ini turut mencipta rekod pada SUKMA Sarawak apabila memecahkan rekod dua pusingan kelayakan dalam acara individu.
“Semasa SUKMA Sarawak, saya berjaya memecahkan rekod bagi pusingan kelayakan 10 meter Air Pistol Lelaki dan juga rekod 25 meter Sport Pistol Lelaki.
Bagi SUKMA 2026 pula, kejayaan ini merupakan yang pertama dan saya akan cuba memburu dua lagi,” jelasnya.
Zen Hong turut menyifatkan SUKMA 2026 sebagai penampilan terakhirnya di temasya berkenaan dan selepas ini menyasarkan persiapan ke arah Sukan SEA 2027.
“Untuk tahun depan, kejohanan paling besar ialah Sukan SEA. Jadi, saya akan membina semula prestasi sebagai persediaan ke arah kejohanan itu dan berharap dapat memberikan yang terbaik buat negara sekiranya terpilih menyertai skuad kebangsaan,” katanya.